Wednesday 12 December 2012

kelebihan dan kekurangan syarikat berbanding perkongsian



Kelebihan Penubuhan Syarikat Berbanding Perkongsian

1.      1. Status undang-undang
Dari segi status perundangan, syarikat dianggap sebagai ‘artificial legal person’ setelah ia diperbadankan yang mana ia mempunyai keupayaan untuk mendakwa dan didakwa. Hal ini kerana, syarikat dan ahli-ahlinya adalah dua entiti yang berbeza dan terasing antara satu sama lain. Jika dibandingkan dengan perkongsian, ia tidak mempunyai status undang-undang yang tertentu. Malahan, firma adalah bertanggungan terhadap tindakan yang dilakukan oleh pekongsi yang menjalankan urusan biasa perniagaan.[1]  

2.      2. Tanggungan ahli
Dengan statusnya sebagai entiti yang berasingan daripada ahlinya, ahli kepada syarikat mempunyai tanggungan yang terhad berbanding perkongsian. Hal ini kerana hutang syarikat adalah tidak bercampur dengan ahli-ahlinya. Ahli-ahli hanya bertanggungan setakat syer yang disumbangkannya dan setelah selesai membayar jumlah syer, ahli syarikat itu tidak lagi mempunyai tanggungan. Namun, dalam perkongsian, tanggungan ahli adalah tidak terhad dan berkongsi tanggungan dengan rakan kongsi yang lain. Menurut seksyen 11, setiap rakan kongsi bertanggungan secara bersama dalam semua hutang dan tanggungan firma.
Selain itu, menurut seksyen 14 Akta Perkongsian 1961, rakan kongsi juga adalah bertanggungan terhadap tindakan tort yang dilakukan oleh rakan kongsi yang lain jika perlakuan tort itu dilakukan dalam urusan biasa perniagaan atau dalam bidang kuasa yang diberi kepadanya. Contohnya di dalam kes Hamlyn v. Houston & Co.[2], seorang rakan kongsi firma defendan telah merasuah seorang kerani firma lain untuk memperolehi maklumat sulit firma berkenaan. Kebocoran maklumat tersebut telah menyebabkan kerugian terhadap firma itu menanggung kerugian. Firma itu kemudiannya membawa tuntutan terhadap Housten &Co. untuk ganti rugi. Mahkamah memutuskan bahawa oleh kerana perlakuan rasuah itu berlaku dalam urusan biasa perniagaan yang dilakukan oleh rakan kongsi tersebut, maka firma defendan adalah bertanggungan walaupun maklumat tersebut diperolehi melalui cara yang salah. 

3.      3. Jumlah keahlian
Jumlah keahlian syarikat yang lebih banyak daripada perkongsian memberi kelebihan kepada syarikat kerana lebih ramai jumlah ahli, maka lebih banyak modal sumbangan dapat dikumpulkan. Jumlah keahlian minimum untuk syarikat ialah dua orang hingga maksima 50 orang bagi syarikat persendirian dan tiada had bagi syarikat awam memungkinkan lebih banyak modal dapat dikumpul melalui pembelian syer dan saiz perniagaan adalah lebih besar daripada perkongsian yang mana menghadkan keahlian kepada jumlah maksima seramai 20 orang dan pengecualian hanya kepada perkongsian yang menjalankan perniagaan bersifat profesion.[3]

4.      4. Jangka hayat terjamin
Perniagaan berbentuk syarikat mempunyai jangka hayat yang lebih terjamin jika dibandingkan dengan perkongsian. Hal ini kerana, jika berlaku kematian ahli atau pengarah syarikat tersebut, syarikat tidak akan terbubar dengan sendirinya sepertimana yang berlaku kepada perkongsian melainkan adanya proses penggulungan di bawah Akta Syarikat 1965. Dalam perkongsian, terdapat suatu peruntukan yang memperuntukkan mengenai pembubaran perkongsian secara automatik jika berlaku kematian salah seorang rakan kongsi atau terjadinya bankrap jika tiada perjanjian sebaliknya.[4]

Keburukan Penubuhan Syarikat Berbanding Perkongsian

1.      1. Prosedur bagi pembentukan
Prosedur bagi penubuhan perkongsian lebih mudah jika dibandingkan dengan prosedur pemnubuhan syarikat yang lebih bersifat teknikal. Dalam perkongsian, ia hanya perlu didaftarkan kepada Pendaftar Perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Perkongsian juga boleh wujud secara tidak formal iaitu secara lisan. Namun, dalam pembentukan syarikat, sebelum membuat pendaftaran nama syarikat harus direzabkan[5] yang mana dibuat dalam borang tertentu dan berkesan dalam masa 3 bulan. Penubuhannya perlulah dilakukan secara formal dan bertulis dengan mengemukakan borang tertentu iaitu ‘Article of association’ (AOA), ’ memorandum of association’ (MOA) dan mengemukakan deklarasi statutori.[6]

2.      2. Kos Pendaftaran dan Percukaian
Jika dibandingkan antara yuran pembentukan syarikat dengan perkongsian, yuran pembentukan syarikat adalah lebih mahal. Hal ini kerana syarikat perlu didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Dari segi percukaian, firma perkongsian adaah tidak tertakluk kepada cukai kerana rakan kongsi akan dicukai secara individu. Berbanding dengan syarikat, pelbagai cukai tambahan perlu dibayar oleh syarikat memandangkan syarikat ialah suatu entiti berasingan.

3.    3.   Penzahiran Laporan
Bagi perkongsian, tiada maklumat perlu dikemukakan kepada Pendaftar Perniagaan. Bagi syarikat pula, laporan kewangan perlu di audit oleh juruaudit yang bertauliah dan dokumen-dokumen mestilah lengkap dan dikemaskinikan terutamanya syarikat awam.


[1] Seksyen 7 Akta Perkongsian 1961.
[2] [1903] 1 KB 81, 87 LT 500.
[3] Seksyen 14 Akta  Syarikat 1965.
[4] Seksyen 35(1) Akta Perkongsian 1961.
[5] Seksyen 22(7) Akta Syarikat 1965.
[6] Seksyen 16(1) dan (2) Akta Syarikat 1965.

ciri-ciri perkongsian



Menurut seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961, perkongsian ialah suatu hubungan yang wujud antara beberapa orang yang menjalankan perniagaan bersama-sama bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Melalui definisi ini, elemen yang penting dalam perkongsian ialah adanya perniagaan, yang dijalankan secara bersama, dengan tujuan mendapatkan keuntungan. Dalam kes Mollow, March & Co. v. The Court of Wards[1], Sir Montague Smith menyatakan bahawa dalam perkongsian pihak-pihak dalam perkongsian itu mesti telah bersetuju menjalankan perniagaan atau berkongsi keuntungan bersama dengan cara tertentu.
Perkongsian perlu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara lisan mahupun secara bertulis melalui borang A di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Dalam perkongsian, biasanya pihak-pihak akan membentuk suatu perjanjian perkongsian bagi mengelak sebarang perselisihan. Perjanjian ini tidak berbeza dengan kontrak-kontrak lain. Perjanjian tersebut kebiasaannya akan menyebut tentang syarat-syarat perkongsian, nama firma, nama rakan kongsi, jenis dan tempat perniagaan, nisbah pembahagian keuntungan atau kerugian, hak dan tugas rakan kongsi, cara menjalankan perniagaan dan bagaimana perkongsian akan dibubarkan. Malahan, seksyen 21 Akta Perkongsian 1961 juga menggalakkan pembentukan perjanjian ini. Walau bagaimanapun, suatu perkongsian juga boleh wujud tanpa perjanjian namun ia akan tertakluk di bawah peruntukan di dalam Akta Perkongsian 1961.
            Mengenai jumlah keahlian perkongsian, Akta Perkongsian 1961 tidak menyebut tentang jumlah keahlian, namun seksyen 14 Akta Syarikat 1965 ada menyebut tentang had jumlah keahlian dalam perkongsian iaitu tidak boleh melebihi 20 orang tetapi terdapat pengecualian bagi perkongsian yang menjalankan perniagaan secara amalan profesion seperti peguam dan akauntan, keahliannya boleh melebihi 20 orang[2] namun tidak melebihi 50 orang. Rakan kongsi bertindak sebagai ejen kepada firma dan berhak campur tangan dalam pengurusan firma dan firma dianggap sebagai satu entiti bersama ahlinya yang mana ia tidak terasing daripada ahlinya kerana mengikut seksyen 7 Akta Perkongsian 1961, segala tindakan yang diambil oleh pekongsi adalah mengikat firma jika dijalankan dalam urusan biasa perniagaannya. Hal ini bermakna, rakan kongsi lain juga turut bertanggungan terhadap tindakan yang diambil rakan kongsi yang lain selagi tindakan itu dijalankan di dalam skop kuasanya. Mengikut seksyen 11[3] setiap rakan kongsi adalah bertanggungan secara bersama dengan pekongsi lain bagi semua liabiliti firma.
Dari segi percukaian, setiap rakan kongsi dicukaikan secara individu manakala firma tidak perlu membayar cukai. Ciri-ciri lain perniagaan perkongsian ialah dari segi pembubarannya. Akta Perkongsian memperuntukkan beberapa kaedah pembubaran, yang pertama ialah pembubaran secara sendiri. Pembubaran jenis ini terjadi apabila pihak-pihak dalam perkongsian telah menetapkan bahawa perkongsian itu akan terbubar apabila tujuan perkongsian itu ditubuhkan telah tercapai (terbubar apabila sesuatu kerja itu selesai)[4] dan apabila terjadinya kematian seorang rakan kongsi atau kebankrapan.[5] Kaedah kedua ialah pembubaran melalui notis mengikut seksyen 34(1)(c) dan 34(2), dan pembubaran oleh mahkamah menurut seksyen 37 Akta Perkongsian 1961.


[1] (1872) LR 4PC 419.
[2] Seksyen 14 (3)(a) 
[3] Akta Perkongsian 1961.
[4] Seksyen 34(1) Akta Perkongsian 1961.
[5] Seksyen 35(1) Akta Perkongsian 1961.

ciri-ciri syarikat



Syarikat ditubuhkan melalui pendaftaran di bawah Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 yang menjelaskan bahawa ‘syarikat’ merupakan syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini atau enakmen yang sebelumnya. Syarikat ialah sebuah persatuan yang diperbadankan yang menjadikannya sebagai entiti yang berasingan daripada orang yang menubuhkannya. Hal ini bermakna syarikat dianggap sebagai ‘seseorang’ di bawah maksud perundangan dan ia tidak termasuk dengan orang yang menubuhkan syarikat tersebut sepertimana yang diputuskan di dalam kes Solomon v. Solomon & Co. Ltd.[1] Kesannya ialah syarikat boleh mendakwa dan didakwa di sisi undang-undang atas namanya sendiri, boleh mewarisi dan memiliki harta secara kekal serta menghadkan tanggungan ahli-ahlinya sebagimana yang dinyatakan dalam Seksyen 16(5).[2]
Dari segi tanggungan setiap ahli syarikat, ia boleh jadi terhad atau tidak terhad, bergantung kepada pembahagian sesebuah syarikat. Tanggungan ahli hanya timbul apabila berlaku pembubaran syarikat dan aset syarikat tidak mencukupi untuk melangsaikan hutang-hutangnya.[3] Contohnya, bagi syarikat berhad yang dihadkan oleh syer, ahli hanya bertanggungan setakat aset yang disumbangkannya yang mana setelah ahli tersebut selesai membayar syernya, maka tiada lagi tanggungan yang dipikul olehnya. Walau bagaimanapun, tanggungan syarikat kepada hutang-hutangnya adalah tidak terhad.
Apabila seseorang itu menjadi pemegang syer, adakah secara automatik orang tersebut menjadi ahli kepada syarikat? Status keahlian tidak bergantung sama ada seseorang itu mempunyai syer atau tidak di dalam syarikat. Di dalam kes Raja Khairulzaman Shah v. Zaman Indah Sdn. Bhd[4] telah diputuskan bahawa seseorang itu tidak memegang status keahlian hanya semata-mata kerana mempunyai syer dalam syarikat. Jika seseorang itu ingin memegang status keahlian, seksyen 16(6) menyenaraikan dua cara iaitu dengan memohon untuk membeli kepada memorandum dan bersetuju untuk menjadi ahli dengan namanya tersenarai dalam senarai ahli.
Selain itu, dari segi jumlah ahli dalam syarikat, ia bergantung kepada jenis syarikat. Jika syarikat itu ialah syarikat persendirian, maka had maksimum jumlah ahli ialah 50 orang[5] dan jika syarikat tersebut merupakan syarikat awam, tiada had maksimum bagi jumlah ahli.
Di samping itu, semua ahli syarikat mempunyai hak yang diperuntukkan oleh Akta yang mana akan dinikmati hanya setelah seseorang menjadi ahli kepada syarikat. Antara hak yang dinikmati oleh ahli-ahli ialah[6]:
a.       Hak untuk memastikan bahawa segala peraturan di dalam memorandum dan tataurusan syarikat diikuti.
b.      Hak untuk menghalang berlakunya tindakan ultra vires dan menyalahi undang-undang di dalam syarikat.
c.       Hak untuk mendapat makluman mengenai rekod syarikat.
d.      Hak untuk menghadiri dan mengundi dalam mesyuarat agung.
e.       Hak bagi layanan yang adil tanpa mengira bilangan syer dalam syarikat.

Dari segi pentadbiran, ia dijalankan oleh badan lembaga pengarah yang mana telah diperuntukkan dalam seksyen 122(3) Akta Syarikat 1965, pengarah syarikat hendaklah dilantik dengan sekurang-kurangnya dua orang yang bermastautin di Malaysia. Namun begitu, pengarah tersebut tidak secara automatik menjadi ahli kepada syarikat. Mengenai cirri-ciri pengarah, seksyen 129(1) telah menghadkan hanya orang yang tidak melebihi 70 tahun sahaja yang boleh dilantik sebagai pengarah di syarikat awam.
         Disamping itu, sesebuah syarikat mestilah mempunyai perlembagaan bertulis dalam bentuk memorandum dan tataurusan persatuan syarikat. Tataurusan ini merupakan suatu kod peraturan syarikat dan terpakai kepada syarikat serta ahli-ahlinya. Memorandum pula merujuk kepada suatu struktur syarikat yang mengandungi maklumat tentang syarikat kepada pihak yang ingin berurusan dengan syarikat. Dari segi percukaian pula, kadar cukai syarikat adalah sama dengan jenis perniagaan yang lain namun berbeza dari segi cukai tambahan yang merangkumi cukai pembangunan sebanyak lima peratus[7] dan cukai harta. Selain itu, ciri-ciri lain syarikat ialah ahli syarikat yang memegang syer boleh memindahkan syer dalam syarikat seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 103 Akta Syarikat 1965 namun pemindahan syer ini tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu.
            Di dalam syarikat, apabila modal telah dilaburkan oleh ahli syarikat, ia tidak boleh dikembalikan semula kepada mereka bagi syarikat berhad, namun bagi syarikat tidak terhad, peraturan ini tidak terpakai. Syarikat juga mempunyai keupayaan untuk membuat pinjaman di bawah nama syarikat tersebut tetapi pinjaman tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan yang telah ditetapkan dalam objek syarikat. Dari segi pembubaran pula, mengikut seksyen 211, syarikat boleh dibubar dengan mengikut cara tertentu, iaitu pertama mengikut perintah mahkamah yang mana ia adalah wajib bagi pembubaran, kedua secara sukarela.


[1] (1897) AC 22.
[2] Seksyen 16(5) Akta Syarikat 1965.
[3] Aishah Bidin. Undang-Undang Syarikat di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 2001, hlm 16.
[4] (1979) 2 MLJ 181.
[5] Seksyen 15(1) Akta Syarikat 1965.
[6] Aishah Bidin. Undang-Undang Syarikat di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 2001, hlm 17.
[7] Seksyen 16 Akta Cukai Pendapatan 1967.