Wednesday 4 January 2012

CARA-CARA BERKAHWIN IKUT UNDANG-UNDANG SIVIL Malaysia

Sebelum berkahwin, setiap pasangan mesti memenuhi syarat-syarat asas dalam perkahwinan menurut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi ialah pasangan tersebut mestilah berumur lebih dari lapan belas tahun bagi lelaki dan genap enam belas tahun bagi perempuan menurut seksyen 10 Akta 164 dengan lesen kebenaran yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 21(2) Akta 164. Selain itu, tiap-tiap pihak yang ingin berkahwin mestilah bukan saudara atau tiada tali persaudaraan yang dilarang berkahwin di bawah seksyen 11, orang yang berumur bawah dari dua puluh satu tahun perlu mendapat kebenaran bertulis dalam seksyen 12, pasangan itu mestilah terdiri daripada lelaki dan perempuan dan pihak-pihak yang ingin berkahwin itu mestilah seorang yang masih bujang atau belum berkahwin (monogamous marriage) kerana mengikut seksyen 6 Akta 164, seseorang itu tidak boleh berkahwin lagi pada masa perkahwinannya yang terdahulu masih lagi berterusan. Setelah memenuhi semua syarat asas perkahwinan, seseorang itu perlu melakukan prosedur permulaan perkahwinan, pengupacaraan perkahwinan dan pendaftaran perkahwinan.

             Permulaan bagi perkahwinan ialah persiapan awal yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak yang akan berkahwin menurut Akta 164 dalam sesebuah perkahwinan sivil. Peruntukan yang berkaitan dengan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi permulaan perkahwinan ialah seksyen 14 hingga seksyen 20. Langkah pertama yang perlu diambil oleh mereka yang ingin berkahwin di Malaysia mengikut seksyen 14 Akta 164 ialah memberi notis pemberitahuan kepada Pendaftar perkahwinan daerah itu dan mereka perlu menandatangani dan memberi sendiri suatu pemberitahuan dalam Borang B seperti yang disebutkan dalam Jadual Pertama Kaedah 3 Akta 164. Sebelum pemberitahuan dibuat, mereka mestilah telah tinggal di daerah perkahwinan selama tujuh hari terlebih dahulu. Jika kedua-dua pihak tinggal di daerah yang sama, hanya satu pemberitahuan yang perlu ditandatangani dan jika mereka tinggal di daerah berasingan, mereka mesti mengisi borang itu di daerah masing-masing.

            Setelah menerima notis itu, Pendaftar akan menyiarkan satu salinan notis tersebut di suatu tempat yang mudah dilihat oleh orang ramai. Notis itu mestilah dibiarkan tertampal selama tiga bulan atau sehingga Pendaftar mengeluarkan surat perakuannya untuk perkahwinan yang dicadangkan itu, mengikut mana-mana yang lebih awal seperti yang dinyatakan dalam seksyen 15 Akta 164. Notis pemberitahuan dalam seksyen 14 hendaklah disertai dengan suatu akuan bertulis di bawah seksyen 16 Akta 164. Akuan bertulis ini mengandungi perkara-perkara seperti tempoh kehadirannya dalam daerah perkahwinan tersebut selama tujuh hari ((a)), keterangan mengenai umur, status samada janda, duda atau balu ((b)), bebas dari apa-apa sekatan-sekatan perkahwinan ((c)), dan kedua-duanya masih bujang atau tiada perkahwinan terdahulu yang masih berterusan. Akuan bertulis itu mesti ditandatangani oleh pasangan itu di hadapan Pendaftar.

            Setelah Pendaftar berpuas hati dengan akuan bertulis dan notis yang telah diberikan mengikut seksyen 15 dan seksyen 16, suatu sijil perakuan untuk berkahwin akan dikeluarkan selepas dua puluh satu hari notis itu disiarkan. Pengeluaran sijil perakuan itu disebut dalam seksyen 17 dan borang yang dimaksudkan ialah Borang C Jadual Pertama Kaedah 4. Setelah sijil perakuan perkahwinan itu dikeluarkan, upacara perkahwinan mestilah diadakan dalam masa enam bulan dari tarikh pemberitahuan perkahwinan itu mula disiarkan. Menurut seksyen 18, jika tiada upacara perkahwinan dibuat dalam tempoh enam bulan itu, segala perbuatan berikutnya adalah terbatal dan pihak-pihak dalam perkahwinan itu perlu mengulang semula daripada langkah pertama. Namun, jika ada kaveat diserahkan untuk menghalang perakuan dikeluarkan daripada Pendaftar dan bantahan itu tidak diluluskan maka pemberitahuan baru tidak diperlukan walaupun telah tamat tempoh enam bulan. Kaveat atau bantahan terhadap perkahwinan dikemukakan oleh mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan perkahwinan yang dicadangkan. Seksyen 19(1) Akta 164 membenarkan pihak yang menentang perkahwinan tersebut membuat bayaran yang ditetapkan dan menyerahkan suatu keveat kepada Pendaftar Perkahwinan untuk menghalangnya daripada mengeluarkan perakuan perkahwinan tersebut. Subseksyen 19(2) menghuraikan kandungan yang perlu ada dalam suatu kaveat iaitu butir-butir peribadi si pembuat kaveat seperti nama dan alamat serta alasan-alasan kepada bantahan terhadap sesuatu perkahwinan itu.

            Jika suatu kaveat telah diserahkan, Pendaftar Perkahwinan tidak boleh mengeluarkan perakuan yang membenarkan perkahwinan itu diteruskan. Namun, jika Pendaftar itu berpuas hati bahawa bantahan itu tidak sepatutnya ditimbulkan atau si pembuat kaveat itu telah menarik balik kaveat yang telah diserahkan maka Pendaftar itu boleh mengeluarkan suatu perakuan bagi perkahwinan itu berlangsung. Hal ini jelas dinyatakan dalam seksyen 20(1) dan jika Pendaftar itu enggan mengeluarkan suatu perakuan perkahwinan, maka pihak-pihak dalam perkahwinan itu boleh memohon rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Mahkamah  berhak sama ada mengesahkan tindakan Pendaftar yang enggan mengeluarkan perakuan itu atau memberi arahan supaya perakuan itu dikeluarkan sebagaimana yang termaktub dalam seksyen 20(2).

            Seterusnya, jika perkahwinan yang dicadangkan itu tiada sebarang bantahan atau tentangan daripada mana-mana pihak, perkahwinan itu hendaklah diupacarakan sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 22 hingga 26 yang memperuntukkan bagaimana sesuatu perkahwinan diupacarakan mengikut kehendak Akta 164 sama ada ia adalah perkahwinan sivil, perkahwinan mengikut agama atau adat istiadat, tempat-tempat perkahwinan itu dilangsungkan sama ada dalam Malaysia atau luar negara dan siapakah pihak-pihak yang terlibat dalam suatu upacara perkahwinan itu selain daripada pihak-pihak kepada perkahwinan itu sendiri. Pihak-pihak kepada perkahwinan itu boleh memilih sama ada mahu melangsungkan upacara perkahwinan mereka di Malaysia ataupun di luar negara. Jika pihak-pihak kepada perkahwinan itu memilih untuk melangsungkan perkahwinan itu di dalam Malaysia, Akta 164 di bawah seksyen 22(1) ada memperuntukkan tiga tempat yang boleh dipilih oleh pihak-pihak kepada perkahwinan tersebut. Tempat-tempat tersebut ialah di Pejabat Pendaftar (seksyen 22(1)(a)), tempat-tempat lain daripada Pejabat Pendaftar (seksyen 22(1)(b)) atau di gereja atau rumah berhala (seksyen 22(1)(c)). Jika pasangan perkahwinan itu memilih untuk mengupacarakan perkahwinan mereka di Pejabat Pendaftar, pasangan tersebut hendaklah menghadirkan diri di Pejabat Pendaftar pada bila-bila masa antara jam enam pagi hingga tujuh petang. Pendaftar itu sendiri akan melakukan upacara perkahwinan tersebut.

            Bagi pasangan yang ingin mengupacarakan perkahwinan mereka di tempat lain selain daripada Pejabat Pendaftar, pasangan tersebut hendaklah membuat permohonan terlebih dahulu daripada Ketua Menteri bagi mendapat suatu lesen yang membenarkan perkahwinan itu diupacarakan di tempat lain sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 21(3) dengan mengisi borang permohonan lesen untuk mengupacarakan perkahwinan di suatu tempat lain selain daripada Pejabat Pendaftar. Pasangan dalam perkahwinan itu mestilah menyatakan butir-butir alasan yang boleh meyakinkan Ketua Menteri untuk mengupacarakan perkahwinan mereka di tempat yang dicadangkan. Perkahwinan di bawah seksyen 22(1)(b) ini boleh diupacarakan pada bila-bila masa dan dilakukan oleh seorang Pendaftar. Pasangan yang memilih untuk mengupacarakan perkahwinan di gereja atau rumah berhala selalunya berniat untuk berkahwin mengikut agama, adat atau kelaziman. Ia boleh diupacarakan sama ada di gereja atau rumah berhala atau mana-mana tempat perkahwinan mengikut seksyen 24(1) dengan diupacarakan oleh paderi, priest atau minister atau seseorang lain yang bukan ahli agama seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 24(2) yang telah dilantik sebagai Penolong Pendaftar oleh Ketua Menteri pada bila-bila masa mengikut kesesuaian. Hanya orang yang dilantik sahaja yang boleh menguruskan upacara perkahwinan. Penolong pendaftar boleh mengupacarakan perkahwinan itu mengikut upacara adat istiadat sekiranya dia berpuas hati dengan keterangan-keterangan seperti umur, status pihak-pihak dalam perkahwinan itu, butir-butir persetujuan, jika perlu dan halangan-halangan yang boleh menyekat perkahwinan itu jika ada sepertimana yang dijelaskan dalam seksyen 22(3)(a)(b)(c)(d). Misalnya, jika perkahwinan itu merupakan perkahwinan pasangan beragama Hindu, maka segala kehendak dan keperluan pengupacaraan mengikut adat istiadat agama Hindu mestilah diikuti. Namun dalam kes Leong Wee Shing lawan Chai Siew Yin [2000] 5 MLJ 162, telah diputuskan bahawa suatu perkahwinan boleh dilakukan di mana-mana tempat perkahwinan mengikut pilihan pasangan dan tidak semestinya dilakukan di gereja atau rumah berhala. Tempat-tempat lain yang mengikut adat kelaziman seperti di rumah kediaman, di restoran atau mana-mana premis yang dipilih oleh pasangan boleh dijadikan tempat mengupacarakan perkahwinan.

            Perkahwinan yang dilangsungkan itu mestilah disaksikan oleh sekurang-kurangnya 3 orang saksi termasuk seorang Pendaftar. Hal ini bermakna, perkahwinan pasangan tersebut perlu disaksikan oleh 2 orang saksi lain yang boleh dipercayai (in facie ecclesiae) oleh Pendaftar seperti yang diperuntukkan seksyen 22(5) Akta 164. Selain itu, pasangan yang ingin berkahwin itu mestilah mengemukakan suatu akuan berkanun yang diperoleh dengan cara mengisi Borang G ‘Permohonan Mengikut Istiadat Agama, Adat atau Kelaziman’ dalam Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1982. Akuan ini mesti dikemukakan kepada Penolong Pendaftar yang akan mengupacarakan perkahwinan itu seperti peruntukan dalam seksyen 24(2)(b). Setelah selesai perkahwinan, seksyen 25(2) memerlukan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu serta dua orang saksi mengakusaksikan dan menandatangani suatu catatan dalam daftar perkahwinan yang dicatatkan oleh Pendaftar Perkahwinan tersebut dan kemudiannya ditandatangani oleh Pendaftar itu.

            Pasangan yang ingin mengupacarakan perkahwinan di luar negara, segala peruntukan dalam seksyen 26 mestilah diikuti. Bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara tetapi masih berdomisil di Malaysia, perkahwinan yang bakal diadakan boleh diupacarakan oleh Pendaftar yang telah dilantik oleh Ketua Menteri. Jika tiada apa-apa bantahan daripada pihak berkuasa negara di mana Kedutaan, Suruhananjaya Tinggi atau Pejabat Konsul itu terletak, maka pengupacaraan boleh diteruskan. Pendaftar yang mengupacarakan perkahwinan itu perlu berpuas hati bahawa salah seorang atau kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu adalah warganegara Malaysia, berkeupayaan untuk berkahwin di bawah Akta 164, tidak bertentangan dengan mana-mana Undang-Undang domisil mana-mana pihak jika salah seorangnya bukan warganegara Malaysia, dan peraturan permulaan dalam perkahwinan yang diperuntukkan dalam seksyen 14 hingga 18 atau 20 telah dipatuhi sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan. Segala acara pengupacaraan dan pendaftaran adalah sama seperti yang dilakukan di Malaysia. Menurut peruntukan seksyen 26(3), segala pengupacaraan perkahwinan di luar negara akan dianggap seperti dilakukan di Malaysia jika semua syarat dan keperluan mengikut Akta dipenuhi.

            Setelah upacara perkahwinan dilangsungkan, setiap pasangan warganegara Malaysia yang tinggal di dalam negara atau di  luar negara yang berkahwin selepas 1 Mac 1982 hendaklah mendaftarkan perkahwinan mereka dibawah seksyen 27 Akta 164. Selain itu, semua perkahwinan yang diupacarakan sebelum tarikh tersebut juga boleh didaftarkan di bawah Akta 164 mengikut peruntukan seksyen 33 dengan membuat permohonan kepada Pendaftar. Walaupun tidak didaftarkan, jika perkahwinan itu masih lagi sah, maka secara automatiknya Akta 164 menyifatkan perkahwinan itu sebagai telah didaftarkan menurut seksyen 4(1) Akta 164. Tujuan pendaftaran perkahwinan ini adalah bagi memastikan adanya satu rekod umum yang mengandungi keterangn lengkap tentang perkahwinan bagi kepentingan bersama. Perkahwinan yang didaftarkan mempunyai kesan perundangan dan boleh menggunakan mana-mana peruntukan dalam Akta ini jika mahu membuat sebarang tuntutan dalam perkahwinan. Pasangan yang melakukan upacara perkahwinan di negara asing boleh mendaftar perkahwinan mereka seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 31 iaitu pendaftaran perkahwinan di negeri asing oleh warganegara Malaysia atau orang yang berdomisil di Malaysia.

 Walaupun pasangan itu tidak berkahwin seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 26 iaitu perkahwinan yang dilakukan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia, perkahwinan itu juga perlu didaftarkan. Pasangan itu mempunyai tempoh selama enam bulan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka jika mereka tidak pulang ke Malaysia selepas upacara perkahwinan itu. Jika pasangan atau salah seorang daripada pasangan tersebut pulang ke Malaysia selepas upacara perkahwinan tersebut dan masih lagi belum mendaftarkan perkahwinan itu walaupun tempoh enam bulan itu belum tamat, mereka diberi lagi enam bulan masa tambahan bermula daripda tarikh mereka pulang ke Malaysia untuk mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut seksyen 31(1A). Semasa membuat pendaftaran, pasangan itu harus mengemukakan bukti-bukti seperti yang diterangkan dalam subseksyen (1B) iaitu perakuan perkahwinan atau apa-apa surat-menyurat yang boleh diterima bagi menunjukkan perkahwinan itu benar-benar berlaku. Pendaftar juga boleh meminta apa-apa maklumat tambahan. 

Kesimpulannya, setiap perkahwinan sivil yang berlaku sama ada di Malaysia atau luar negara mestilah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam Akta 164 dan mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut Akta 164. Hal ini adalah untuk memastikan sesuatu perkahwinan dijalankan mengikut prosedur dan dilakukan secara sistematik. Kebaikannya ialah untuk mewujudkan suatu rekod perkahwinan yang sah dan pihak-pihak perkahwinan itu boleh menggunakan hak-hak yang diperuntukan dalam Akta 164 jika berlakunya sebarang masalah dalam masa perkahwinan berlangsung.
p/s: JOM KAWEN.....

4 comments:

  1. Hi ... saya nak tanya .. kalau perempuan umur 18 tahun dan lelaki umur 20tahun boleh daftar kahwin tak .. dan boleh tak ibu budak perempuan itu tandatangani untuk persetujuan bagi pihak perempuan

    ReplyDelete
  2. Hi ... saya nak tanya .. kalau perempuan umur 18 tahun dan lelaki umur 20tahun boleh daftar kahwin tak .. dan boleh tak ibu budak perempuan itu tandatangani untuk persetujuan bagi pihak perempuan

    ReplyDelete
  3. I nak tanyak kalau perempuan umur 20 tahun lelaki 23 tahun boleh daftar tak...... Selepas itu perempuan xde orang keluarga saksi tapi ada saudara untuk saksi

    ReplyDelete
  4. Top 20 best casinos in the UK with no deposit bonuses
    1. Golden Nugget · 2. 동해 출장마사지 Microgaming 상주 출장안마 · 3. Wild 사천 출장샵 Casino · 4. Betfair · 5. William Hill 성남 출장안마 · 6. 용인 출장샵 Unibet · 7. Unibet · 8. Playtech.

    ReplyDelete