Thursday 6 December 2012

Environmental Law- masalah lambakan sisa pepejal



PUNCA LAMBAKAN SISA PEPEJAL
            Sisa pepejal merupakan bahan buangan yang paling mudah didapati dan paling banyak dihasilkan. Hal ini terjadi kerana pertambahan sumber atau punca terhasilnya sisa pepejal tersebut. Antara punca yang menyebabkan bertambahnya sisa pepejal ialah:

1.      Pertambahan jumlah penduduk
Jumlah penduduk yang semakin bertambah menyumbang kepada penghasilan sisa pepejal. Mengikut laporan Rancangan Malaysia Kesembilan[1], jumlah sisa pepejal yang dijana di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada 2005. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat kepada 30,000 tan sehari pada tahun 2020. Secara puratanya, pada masa ini seorang warga Malaysia menjanakan sebanyak 0.8 kilogram sisa pepejal sehari[2]. Jika dikira dengan jumlah penduduk Malaysia kini, sememangnya faktor pertambahan penduduk menjadi salah satu punca terbesar dalam penjanaan sisa pepejal negara.

2.      Sosio ekonomi dan gaya hidup penduduk Malaysia
Kini, kebanyakan penduduk di negara ini memiliki pendapatan di tahap sederhana tinggi dan memiliki taraf hidup yang semakin meningkat terutamanya yang tinggal di kawasan bandar. Boleh dikatakan setiap keluarga mempunyai rumah kediaman sendiri berikutan dengan lambakan rumah mampu milik yang dibina oleh para pemaju perumahan. Apabila banyak rumah dibina dan berpenghuni, maka penghasilan sisa pepejal domestik juga semakin bertambah. Secara puratanya komposisi sisa pepejal isi rumah di Malaysia ialah 45% bagi sisa makanan, 24% bagi plastik, 7% kertas, 6% logam, 3% kaca dan 15% lain-lain sisa pepejal isi rumah[3]. Komposisi sisa buangan pepejal dijana daripada aktiviti harian daripada kediaman, perniagaan, institusi dan tempat rekreasi yang dirancang serta tidak dirancang seperti rumahrumah setinggan dan premis lain yang diusahakan secara haram. Gaya hidup masyarakat yang suka membazir juga menyebabkan pertambahan sisa pepejal. Masyarakat kini lebih suka membuang bahan buangan daripada mengitar semula atau menggunakan semula barang tersebut. Contohnya, botol kicap, tin minuman, kotak dan sebagainya akan dibuang selepas bahan tersebut habis dimakan. Di samping itu, bilangan suri rumah sepenuh masa yang semakin berkurangan juga menyumbang ke arah pertambahan sisa pepejal kerana mereka tiada masa untuk mengasingkan sisa pepejal di rumah mereka dan sibuk di tempat kerja. Hal ini kerana purata kaum wanita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya sendiri semakin meningkat yang menyebabkan mereka sukar meluangkan masa menguruskan sisa pepejal isi rumah.
 
3.      Kutipan sampah/sisa yang tidak tepat pada masa
Pada Oktober 1994, Kerajaan menyarankan kepada syarikat swasta untuk membuat tawaran bagi penswastaan pengurusan sisa pepejal bagi meningkatkan kualiti pengurusan sisa pepejal. Kerajaan Persekutuan telah menggubal akta untuk memindahkan tanggungjawab pengurusan sisa pepejal daripada Pihak Berkuasa Tempatan kepada kerajaan pusat. Pada tahun 2007, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Namun begitu, masalah lambakan sisa pepejal ini berlaku apabila terdapat beberapa syarikat swasta yang bertanggungjawab melakukan kutipan sisa dan bahan buangan ini dari rumah ke rumah telah gagal menjalankan tugas mereka mengikut jadual. Kadang kala, sisa pepejal di kawasan perumahan lambat dikutip pihak berkenaan dan menyebabkan sisa pepejal semakin bertambah dan berselerakan di jalanan dan membawa kesan yang buruk kepada alam sekitar dan imej negara. Masalah ini sering berlaku di kawasan perumahan pangsa dan taman perumahan. Antara syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab menguruskan kutipan sisa pepejal ialah Alam Flora Sdn Bhd, Southern Waste Management Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd.

4.      Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik
Seperti yang diketahui umum, kebanyakan sisa pepejal memberi kesan yang negatif kepada alam sekitar. Pencemaran daripada sisa pepejal terjadi akibat pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik. Hal ini termasuklah kaedah pengurusan sisa pepejal yang tidak mapan juga menjadi ancaman kepada alam sekitar. Contohnya, kaedah pengurusan bahan buangan menggunakan kaedah “open dumping”. Kaedah ini adalah kaedah konvensional yang dilakukan secara meluas di Malaysia dan masih dipraktikkan. Kaedah “open dumping’ ini ialah kaedah di mana semua sisa pepejal yang telah dikutip daripada rumah dan bangunan akan dilepaskan atau dibuang di suatu kawasan pelupusan sampah secara terbuka. Kaedah ini adalah tidak teratur dan terdedah kepada pencemaran bau serta membawa kepada pembiakan serangga dan makhluk perosak seperti tikus yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Pihak Berkuasa Tempatan masih belum mahir dalam mengurus dan merancang perkhidmatan bandar terutamanya cara pungutan sisa buangan, bilangan pengangkutan ditambah pula dengan kos tenaga bururh yang tinggi.

5.      Sikap masyarakat yang tidak prihatin
Disebalik semua punca pertambahan sisa pepejal yang telah dibincangkan, punca yang paling kritikal ialah sikap masyarakat sendiri yang tidak prihatin terhadap alam sekitar. Sikap masyarakat yang tidak ambil peduli terhadap alam sekitar menyebabkan mereka membuang sampah sewenang-wenangnya tanpa berfikir tentang kesannya terhadap alam sekitar. Segala kempen alam sekitar yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan tidak diendahkan. Sikap ini seharusnya dihakis dalam diri setiap manusia kerana sikap tidak prihatin inilah yang menyebabkan alam sekitar terancam. Sikap malas masyarakat untuk mengitar semula menjadi penyumbang utama pertambahan sisa pepejal isi rumah.

KESAN PERTAMBAHAN SISA PEPEJAL

Sisa pepejal yang dihasilkan setiap hari membawa kesan yang negatif terhadap alam sekitar. Sisa pepejal boleh menyebabkan pelbagai jenis pencemaran yang lain seperti pencemaran udara, pencemaran tanah-tanih dan pencemaran air. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, bahkan terhadap sosial dan kesihatan manusia.

Kesan sisa pepejal terhadap alam sekitar
Sisa pepejal yang telah dibuang di tapak pelupusan sampah menggunakan kaedah “open dumping” boleh menghasilkan sejenis gas yang terhasil daripada proses pereputan sampah. Gas ini boleh menyebabkan letupan jika dibiarkan terkumpul dalam permukaan tanah yang tertutup. Selain itu, gas metana iaitu salah satu daripada gas tapak pelupusan boleh membawa kepada peningkatan suhu dunia. Letupan atau kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan akan menyebabkan pencemaran udara dan membawa kemerosotan jarak penglihatan akibat daripada asap kebakaran tersebut. Pencemaran air pula berlaku akibat daripada air tercemar atau leachate yang mengalir dari tapak pelupusan sampah meresap masuk ke dalam sumber air bawah tanah. Air hujan yang mengalir di tapak pelupusan sampah akan membawa sebahagian besar bahan cemar yang datang daripada sisa pepejal dan terserap di dalam tanah sekaligus mencemarkan sumber air bawah tanah.
Masalah pengurusan tapak pelupusan yang tidak cekap menyebabkan masalah pencemaranair yang serius kerana disebabkan oleh air lelehan dari sisa buangan di kawasan tapak pelupusan.Air lelehan dari tapak pelupusan akan mengalir ke sungai yang berhampiran khususnya melaluiair bawah tanah dan ini secara langsung boleh mencemarkan sungai tersebut.Keadaan ini akan mendedahkan hidupan akuatik kepada aliran air yang tercemar[5]. Selainitu penduduk yang menggunakan sungai sebagai punca utama untuk minuman akan terdedahkepada pelbagai penyakit yang berbahaya. Air lelehan ini mengandungi pelbagai bahanpencemar khususnya logam berat seperti kadmium (Cd), kromium(Cr), kuprum(Cu), plumbum (Pb), magnesium (Mg), zink (Zn) dan ferum (Fe)[6].Selain itu, sisa pepejal yang dibuang ke dalam sungai atau laut juga akan menyebabkan pencemaran air. Sisa kimia terutamanya bahan yang tidak boleh terurai amat berbahaya jika tersentuh atau terhidu. Sisa pepejal juga boleh menyebabkan pencemaran tanah apabila bahan-bahan kimia atau bahan-bahan lain mengubah komposisi semulajadi tanah. Sisa pepejal seperti beg plastik dan styrofom yang tidak boleh terurai secara semulajadi akan kekal dalam tanah selama-lamanya.

Kesan sisa pepejal terhadap sosial
Sisa atau sampah yang tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan ketidakselesaan kepada masyarakat akibat daripada bau busuk. Sisa atau sampah yang dibuang merata-rata tempat akan tersumbat di dalam longkang. Apabila longkang tersumbat, kos penyelenggaraan akan bertambah dan membebankan pihak berkuasa tempatan untuk membaiki semula saliran air yang tersumbat. Di samping itu, pertambahan sisa pepejal akan menyebabkan tapak pelupusan sedia ada tidak mampu menampung sisa pepejal baru dan lebih banyak tapak pelupusan baru perlu dibuka. Hal ini boleh menganggu keselesaan komuniti setempat yang tinggal berdekatan dengan tapak pelupusan tersebut kerana terpaksa menahan bau busuk dan kesan negatif lain. Pengurusan sampah dengan kaedah penimbusan cara “open dumping” dan “sandwich” cenderung menyebabkan masalah bau kepada penduduk berdekatan. Walaupun kaedah “sandwich” adalah lebih berkesan dalam menguruskan sisa buangan di tapak pelupusan, namun jika tapak pelupusan itu terlalu lebar atau luas, sisa buangan ini akan ditinggalkan tidak tertutup untuk beberapa hari dan menyebabkan bau busuk. Kebanyakan Pihak Berkuasa Tempata mempunyai tapak penbuangan yang akan penuh dan sebanyak 50% tapak ini berdekatan dengan kawasan perumahan kira-kira setengah kilometer.[7]

Kesan sisa pepejal terhadap kesihatan manusia
Kesan sisa pepejal yang paling ketara ialah kesannya terhadap kesihatan manusia. Kemerosotan kesihatan lebih ketara dirasai oleh penduduk yang tinggal berdekatan kawasan pembuangan sampah. Pengurusan sisa pepejal yang tidak sistematik boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti penyakit kulit akibat daripada sentuhan secara fiizikal dengan sisa atau sampah. Jangkitan mata dan pernafasan pula terjadi apabila terdedah kepada debu dan udara dari tapak pelupusan. Wabak penyakit datang daripada persekitaran yang kotor seperti tapak pelupusan sampah yang menjadi tempat pembiakan vektor pembawa panyakit seperti lalat, nyamuk, tikus dan sebagainya. Kitaran pembiakanlalat dalam cuaca panas adalah lebih kurang 7 hari dan lalat merupakan vektor pembiakan penyakit yang efektif. Nyamuk yang membiak di kawasan takungan air di tapak pelupusan berupaya menyebarkan penyakit malaria dan demam denggi manakalatikus pula menyebarkan penyakit berbahaya seperti penyakit kencing tikus.
Semasa proses penguraian berlaku, beberapa jenis gas terhasil seperti sulfur dioksida, dioxin, sulfur, karbon oksida, amonia dan lain-lain. Jika gas-gas ini masuk ke dalam tubuh manusia, ia akan bertindakbalas dan menghasilkan toksin yang membahayakan kesihatan seterusnya menyebabkan penyakit kronik seperti hepatotoxicity (kerosakan hati), nephrotoxicity (kerosakan ginjal), pulmonary toxicity (kerosakan peparu), neurotoxicity (gangguan sistem saraf), immunotoxicity (kegagalan sistem imun) dan sebagainya[8].




PENYELESAIAN BAGI MASALAH LAMBAKAN SISA PEPEJAL

Terdapat banyak langkah atau jalan penyelesaian yang telah diambil oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan dalam mengurangkan dan membasmi masalah sisa pepejal yang banyak memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Selain itu, masyarakat kini juga menjadi lebih peka terhadap masalah yang berkaitan alam sekitar. Antara langkah-langkah yang telah dijalankan demi menangani masalah sisa pepejal ialah:
1.      Mewartakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672)
Pada tahun 2007, Akta 672 telah diwartakan dimana kerajaan persekutuan telah diberi kuasa eksekutif dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di semenanjung Malaysia. Dalam erti kata lain, akta ini memindahkan tanggungjawab pengurusan sisa pepejal daripada pihak berkuasa tempatan kepada kerajaan pusat. Di samping itu, Akta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 673) juga telah diwartakan pada tahun yang sama bagi menubuhkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA) bertujuan menguatkuasakan Akta 672 serta peraturan-peraturan dibawahnya,melaksanakan pelan perancangan strategik, mengawalselia perjanjian konsesi serta operasi fasiliti-fasiliti pengurusan sisa pepejal di seluruh negara. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) diwujudkan untuk membuat dasar, peraturan-peraturan, garis panduan, merangka pelan strategik, mengeluarkan lesen dan seumpamanya.

2.      Penilaian Impak Alam Sekitar / Environmental Impact Assessment (EIA)
Mekanisma ini telah diperkenalkan di US pada tahun 1970 dan telah dipraktikkan oleh  hampir seluruh dunia yang memfokuskan impak-impak utama terhadap alam sekitar. Di Malaysia, seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 1985 menekankan keperluan undang-undang untuk EIA bagi aktiviti-aktiviti yang telah ditentukan. Jabatan Alam Sekitar Malaysia mendefinisikan EIA sebagai suatu penyelidikan yang dijalankan untuk mengenalpasti, meramal, menilai dan menyampaikan maklumat tentang impak setiap projek yang akan dijalankan terhadap alam sekitar. Ia juga menjelaskan langkah-langkah yang diperlukan bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar setelah sesuatu projek itu diluluskan. EIA juga membolehkan setiap masalah yang bakal timbul di masa hadapan akibat daripada projek yang akan dijalankan dapat dipralihat dan dielakkan. Menurut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Tersenarai) (Penilaian Impak Alam Sekitar 1987), rawatan dan pelupusan sisa merupakan salah satu daripada 19 kategori major yang mensyaratkan EIA dilakukan sebelum menjalankan aktiviti.

3.      Menjalankan kaedah penstoran dan kutipan yang pelbagai
Pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal telah menjalankan beberapa kaedah penstoran dan kutipan dalam menguruskan masalah sisa pepejal yang dijana setiap hari. Bagi premis atas tanah seperti rumah kediaman, tong sampah digunakan sebagai penstoran di setiap premis sebelum proses kutipan dilakukan. Tong communal digunakan di rumah bertingkat kos rendah dan sederhana sebagai tempat penstoran berpusat dimana penghuni perlu membawa sisa yang telah dikumpulkan ke tempat penstoran manakala bagi kondominium pula kebuk sampah disediakan di setiap tingkat. Berikut adalah beberapa jenis tong sampah yang disediakan oleh pihak pengurusan sisa dalam menangani masalah sisa pepejal:


1.      Tong sampah kediaman atas tanah.

2.      Rumah bertingkat kos
rendah dan sederhana.
ez19080912506956583.jpgez19080912506956585.jpg

3.      Spiral waste bin (SWB).
Tong sisa pepejal berkapasiti tinggi yang disediakan di kondominium dan pangsapuri.
ez19080912506957505.jpg

4.      Deep Collection system.
Menggunakan ruang bawah tanah untuk menyimpan sisa yang menjimatkan ruang dan kos.
ez19080912506956582.png

5.      Sistem vakum.
Sistem automatik yang menggunakan sesalur buangan (refuse chute) dan kaedah sedutan.



ez19080912506957503.jpg

            Bagi kaedah kutipan pula, terdapat 3 kaedah yang telah digunakan supaya tiada sisa       pepejal yang tertinggal. Kaedah-kaedah tersebut ialah kaedah kutipan di bebendul       jalan, kutipan berpusat dan kutipan dari premis ke premis. Kutipan di bebendul jalan            ialah kutipan yang dilakukan ke atas tong yang diletakkan di tepi jalan seperti tong        sampah di perhentian bas dan tempat awam. Kutipan berpusat pula ialah kutipan di             kawasan khas untuk pengumpulan sisa contohnya rumah sampah dan tong komunal.       Penghuni perlu mengumpulkan sisa di dalam plastik dan membawa sisa tersebut ke          rumah sampah. Kutipan jenis ini dilakukan di pangsapuri, pasar, premis komersial dan   lain-lain. Manakala kutipan dari premis ke premis pula dilakukan oleh pekerja            pengutip sisa yang kemudiannya dibuang ke dalam kenderaan atau lori sampah. Kaedah ini dipraktikkan secara meluas di Malaysia.

4.      Kempen Kitar Semula
Langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah sisa pepejal ialah dengan mengadakan Program Kitar Semula Kebangsaan yang telah dilancarkan pada 2 Disember 2000. Pelbagai pihak berganding bahu dalam menghidupkan program ini antaranya ialah Pihak Berkuasa Tempatan, Syarikat Konsesi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Syarikat swasta, Institut Pengajian Tinggi, sekolah dan sebagainya. Melalui kempen kitar semula ini, penerapan nilai 3R dilakukan kepada seluruh masyarakat iaitu recycle (kitar semula), reduce (pengurangan) dan reuse (guna semula). Penerapan amalan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penjanaan sisa pepejal negara. Konsep pengurangan ialah dimana masyarakat diseru agar bijak dalam memilih bahan yang digunakan supaya penghasilan sisa pepejal dapat dikurangkan. Contohnya, pengguna digalakkan membawa bakul ke pasar semasa membeli barangan keperluan daripada menggunakan beg plastik yang tidak boleh dikitar semula.
 Konsep guna semula ialah yang mana masyarakat digalakkan menggunakan semula bahan yang boleh digunakan lagi. Sesetengah masyarakat lebih suka membuang barang-barang yang sudah lama dipakai walaupun barang tersebut masih boleh digunakan bagi tujuan lain contohnya seperti pakaian lama boleh dijadikan kain buruk dan tin kopi atau susu boleh digunakan semula sebagai tempat menyimpan barang atau isian semula. Proses kitar semula pula ialah pengumpulan dan pengasingan bahan-bahan yang boleh dikitar semula dengan bahan-bahan yang tidak boleh dikitar semula. Bagi tujuan kitar semula, pihak kerajaan telah menyediakan tiga jenis tong yang diletakkan berdekatan premis-premis kediaman, institusi-institusi pendidikan, di pusat membeli-belah, di bangunan-bangunan pejabat dan seumpamanya yang menjadi tumpuan orang ramai. Tong-tong ini didatangkan dengan tiga warna berbeza yang melambangkan kegunaan yang berbeza. Tong berwarna biru khas untuk bahan yang berasaskan kertas seperti surat khabar, kadbod, kotak dan sebagainya, tong berwarna coklat khas untuk bahan-bahan kaca manakala tong berwarna jingga khas untuk sisa pepejal berasaskan tin aluminium, tin keluli dan plastik. Rajah dibawah menunjukkan tong-tong kitar semula yang disediakan di seluruh Malaysia[9].
ez26080912513232230.png
5.      Penggunaan kaedah baru dalam pelupusan sisa pepejal
Dahulu, kaedah pelupusan sampah yang paling banyak digunakan ialah kaedah “open dumping” di tapak pelupusan sampah. Namun, lama-kelamaan tapak pelupusan sampah tersebut tidak dapat lagi menampung jumlah sisa pepejal yang semakin bertambah dari hari ke hari. Pelbagai kaedah pelupusan sisa yang baru dan lebih canggih diperkenal dan digunakan di Malaysia. Terdapat 3 jenis kaedah penimbusan yang telah dilakukan dalam menguruskan sisa pepejal negara iaitu kaedah “open dumping”, kaedah “sandwich’’, dan kaedah “cell”. Kaedah “open dumping” ialah kaedah yang paling banyak dilakukan di Malaysia ysng mana sisa buangan akan dibuang ke tapak pelupusan secara terbuka setelah dikumpulkan. Kaedah “sandwich” ialah kaedah penimbusan yang dibuat secara berlapis-lapis dan mendatar yang mana setiap lapisan akan ditutup dengan tanah manakal kaedah “cell” pula ialah kaedah penimbusan sisa buangan dengan lapisan tanah pada setiap hari dengan ketebalan 20 cm, lapisan penutup perantaraan pada ketebalan 30 cm dan lapisan akhir penutup pada ketebalan 60 cm. Kaedah ini lebih efektif kerana dapat mengatasi masalah bau busuk dan sisa buangan tidak akan berselerakan.
            Selain itu, dalam usaha mengurangkan kesan negatif akibat daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah, kaedah baru diperkenalkan iaitu penggunaan pelapik tanah yang bertujuan untuk memisahkan bahan pencemar dalam sisa pepejal daripada tanah di tapak penimbusan tersebut. Pelapik ini dibina daripada tanah liat semulajadi, bentonit dan bahan geosentetik. Pelapik ini bertindak menyekat pengaliran keluar air lelehan sisa terkumpul daripada mengalir ke kawasan sekitar khususnya sungai yang berhampiran. Contoh tapak pelupusan yang menggunakan kaedah ini ialah tapak pelupusan di Bukit Nanas, Negeri Sembilan. Cara alternatif lain yang telah diambil untuk mengekang masalah sisa pepejal ialah dengan pembinaan insinerator. Pembinaan insinerator ini dijangka dapat mengurangkan jumlah sisa pepejal dari dibuang ke tapak pelupusan sampah sehingga 80 hingga 90 peratus[10]. Insinerator ialah teknologi rawatan sisa yang melibatkan proses pembakaran bahan organik. Insinerator dan lain-lain rawatan sisa yang menggunakan suhu yang tinggi dikenali dengan rawatan termal. Kelebihan penggunaan insinerator ialah dapat memusnahkan bakteria patogen secara keseluruhan, tiada masalah bau dan gangguan, menghasilkan tenaga elektrik, tiada masalah air lelehan sisa pepejal dan tidak menggunakan ruang yang luas[11].


CADANGAN PENAMBAHBAIKAN DALAM MENGATASI MASALAH SISA PEPEJAL.

1.      Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat
Undang-undang dan peraturan sedia ada sudah mampu untuk mengatasi masalah sisa pepejal dan masalah ancaman alam sekitar yang lain. Namun, penguatkuasaan yang longgar seperti mana yang terjadi kini menyebabkan masalah pencemaran  alam sekitar menjadi semakin meruncing. Terdapat banyak perundangan yang telah digubal bagi mengekang masalah ini antaranya Seksyen 34A, seksyen 29A mengenai larangan pembakaran terbuka sisa pepejal, seksyen 24 mengenai larangan membuang sisa pepejal di kawasan terbuka dan seksyen 25 mengenai larangan membuang sisa pepejal ke dalam laut[12]. Selain itu, akta lain yang turut menyentuh tentang sisa pepejal ialah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1977 disamping statut baru yang mengawal sisa pepejal iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

2.      Kesedaran masyarakat
Masyarakat sebagai penghuni di bumi ini memainkan peranan yang paling penting dalam menjaga alam sekitar. Tanpa kesedaran manusia tentang pentingnya alam sekitar yang bersih, semua langkah yang dianjurkan atau perundangan yang dikuatkuasakan tidak akan berfungsi. Manusia sebagai pengguna dan penghuni bumi mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengekalkan kebersihan alam semulajadi. Antara perkara yang boleh diamalkan setiap masyarakat dalam sama-sama berganding bahu mengatasi masalah sisa pepejal yang kian meruncing sekarang ialah mengasingkan sisa isi rumah, menjaga tong sampah daripada sebarang kerosakan yang boleh menyebabkan kebocoran, memastikan tong ditutup dengan sempurna supaya sisa tidak berterabur, mengeluarkan tong apabila sampai masa kutipan, berfikir sebelum membuang, mengamalkan konsep 3R yang dianjurkan kerajaan den sebagainya.

3.      Penguatkuasaan peraturan baru
Peraturan baru yang mungkin dapat membantu dalam mengatasi masalah lambakan sisa pepejal ialah kerajaan mengadakan peraturan yang mana setiap isi rumah kediaman dan institusi wajib mengasingkan sisa buangan masing-masing kepada beberapa kategori seperti sisa makanan, bahan yang boleh dikitar semula, bahan yang tidak boleh dikitar semula dan sisa buangan taman serta menghantar sisa yang boleh dikitar semula ke pusat kitar semula. Penalti yang tinggi akan dikenakan kepada penghuni rumah yang gagal melakukan amalan itu. Bagi menjayakan peraturan ini, sistem kawalan dan pemantauan yang teratur dan ketat perlu dilakukan. Sistem pengasingan sisa ini telah berjaya diamalkan di negara-negara seperti Jepun, Korea dan sebagainya.


[1]2006-2010
[2]Laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,2008.
[3]Rancangan Malaysia ke-9
[4] Sumber daripada http://jpspn.gov.my
[5]Mohd Nizzam Huridi (2004) Pencemaran sisa buangan pepejal tapak pelupusan sampah Hulu Sg
Kembong ke atas kualiti air Sg Beranang. Kertas Projek Sains Pembangunan. Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi. (tidak diterbitkan).
[6]Zaini Sakawi- Artikel Impak pengurusan tapak pelupusan keatas kualiti air sungai di Malaysia.
[7] www.jpspn.gov.my
[8] Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (http://www.wmam.org)
[9] Sumber daripada www.jpspn.gov.my
[10] Zaini Sakawi, Artikel Impak Pengurusan Tapak Pelupusan Ke Atas Kualiti Air Sungai di Malaysia.
[11] Wikipedia
[12] Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

No comments:

Post a Comment