Wednesday 12 December 2012

ciri-ciri perkongsian



Menurut seksyen 3(1) Akta Perkongsian 1961, perkongsian ialah suatu hubungan yang wujud antara beberapa orang yang menjalankan perniagaan bersama-sama bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Melalui definisi ini, elemen yang penting dalam perkongsian ialah adanya perniagaan, yang dijalankan secara bersama, dengan tujuan mendapatkan keuntungan. Dalam kes Mollow, March & Co. v. The Court of Wards[1], Sir Montague Smith menyatakan bahawa dalam perkongsian pihak-pihak dalam perkongsian itu mesti telah bersetuju menjalankan perniagaan atau berkongsi keuntungan bersama dengan cara tertentu.
Perkongsian perlu didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 secara lisan mahupun secara bertulis melalui borang A di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Dalam perkongsian, biasanya pihak-pihak akan membentuk suatu perjanjian perkongsian bagi mengelak sebarang perselisihan. Perjanjian ini tidak berbeza dengan kontrak-kontrak lain. Perjanjian tersebut kebiasaannya akan menyebut tentang syarat-syarat perkongsian, nama firma, nama rakan kongsi, jenis dan tempat perniagaan, nisbah pembahagian keuntungan atau kerugian, hak dan tugas rakan kongsi, cara menjalankan perniagaan dan bagaimana perkongsian akan dibubarkan. Malahan, seksyen 21 Akta Perkongsian 1961 juga menggalakkan pembentukan perjanjian ini. Walau bagaimanapun, suatu perkongsian juga boleh wujud tanpa perjanjian namun ia akan tertakluk di bawah peruntukan di dalam Akta Perkongsian 1961.
            Mengenai jumlah keahlian perkongsian, Akta Perkongsian 1961 tidak menyebut tentang jumlah keahlian, namun seksyen 14 Akta Syarikat 1965 ada menyebut tentang had jumlah keahlian dalam perkongsian iaitu tidak boleh melebihi 20 orang tetapi terdapat pengecualian bagi perkongsian yang menjalankan perniagaan secara amalan profesion seperti peguam dan akauntan, keahliannya boleh melebihi 20 orang[2] namun tidak melebihi 50 orang. Rakan kongsi bertindak sebagai ejen kepada firma dan berhak campur tangan dalam pengurusan firma dan firma dianggap sebagai satu entiti bersama ahlinya yang mana ia tidak terasing daripada ahlinya kerana mengikut seksyen 7 Akta Perkongsian 1961, segala tindakan yang diambil oleh pekongsi adalah mengikat firma jika dijalankan dalam urusan biasa perniagaannya. Hal ini bermakna, rakan kongsi lain juga turut bertanggungan terhadap tindakan yang diambil rakan kongsi yang lain selagi tindakan itu dijalankan di dalam skop kuasanya. Mengikut seksyen 11[3] setiap rakan kongsi adalah bertanggungan secara bersama dengan pekongsi lain bagi semua liabiliti firma.
Dari segi percukaian, setiap rakan kongsi dicukaikan secara individu manakala firma tidak perlu membayar cukai. Ciri-ciri lain perniagaan perkongsian ialah dari segi pembubarannya. Akta Perkongsian memperuntukkan beberapa kaedah pembubaran, yang pertama ialah pembubaran secara sendiri. Pembubaran jenis ini terjadi apabila pihak-pihak dalam perkongsian telah menetapkan bahawa perkongsian itu akan terbubar apabila tujuan perkongsian itu ditubuhkan telah tercapai (terbubar apabila sesuatu kerja itu selesai)[4] dan apabila terjadinya kematian seorang rakan kongsi atau kebankrapan.[5] Kaedah kedua ialah pembubaran melalui notis mengikut seksyen 34(1)(c) dan 34(2), dan pembubaran oleh mahkamah menurut seksyen 37 Akta Perkongsian 1961.


[1] (1872) LR 4PC 419.
[2] Seksyen 14 (3)(a) 
[3] Akta Perkongsian 1961.
[4] Seksyen 34(1) Akta Perkongsian 1961.
[5] Seksyen 35(1) Akta Perkongsian 1961.

No comments:

Post a Comment