Thursday 5 January 2012

Perbandingan jenayah rogol dan seks di luar tabii di bawah Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang jenayah Islam

Kesalahan jenayah dan hukuman bagi kesalahan jenayah di Malaysia terkandung dalam Kanun Keseksaan atau Akta 574 manakala Undang-Undang Jenayah Islam yang meliputi hukum Hudud dan Qisas diperuntukkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah selain terdapatnya kesalahan dan hukuman di bawah Takzir. Kanun Keseksaan adalah statut yang digubal oleh kerajaan yang berperanan sebagai garis panduan atau peraturan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat. Syariah berasal dari perkataan syara’a yang membawa maksud undang-undang. Menurut kamus dewan edisi ke-3, syariah dimaksudkan sebagai hukum Islam atau mahkamah-mahkamah yang menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum Islam. Terdapat banyak aspek atau elemen yang boleh dibandingkan antara Kanun Keseksaan Malaysia dengan Undang-Undang Jenayah Islam. Antara perkara atau kesalahan yang boleh dibandingkan dalam kedua-dua sumber perundangan tersebut ialah jenayah rogol dan seks di luar tabii di bawah Kanun Keseksaan Malaysia dengan jenayah zina bil-jabr dan liwat di bawah Undang-Undang Jenayah Islam.

Dalam membandingkan jenayah rogol dibawah Kanun Keseksaan Malaysia dan jenayah zina dibawah Undang-Undang Jenayah Islam, terdapat beberapa perbezaan dan persamaan antara kedua-duanya. Undang-undang lazim mendefinisikan rogol sebagai persetubuhan seks tanpa keizinan yang dilakukan oleh seorang lelaki ke atas seorang perempuan yang tidak dikahwininya atau tinggal bersamanya. Jenayah rogol yang dimuatkan dalam Kanun Keseksaan Malaysia diperuntukkan dibawah seksyen 375 yang menyebut “Seseorang lelaki adalah dikatakan melakukan ‘rogol’, jika ia, kecuali dalam hal yang dikecualikan kemudian daripada ini, bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk di bawah daripada perihal-perihal yang berikut:

(a)    bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;

(b)   dengan tiada kerelaan perempuan itu;

(c)    dengan kerelaan perempuan itu manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa keadaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut;

(d)   dengan kerelaan perempuan itu manakala lelaki itu ketahui bahawa ia bukan suaminya, dengan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang ia percaya menjadi suaminya yang sah disisi undang-undang atau yang kepadanya ia akan memberi kerelaan;

(e)    dengan kerelaan, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami  jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;

(f)    sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak jika perempuan itu di bawah umur 16 tahun.

Huraian – kemasukan adalah memadai bagi persetubuhan yang perlu bagi kesalahan merogol.

Kecualian – persetubuhan oleh seorang lelaki dengan isterinya dengan perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis pada masa itu berkuatkuasa, atau diiktiraf dalam Persekutuan sebagai sah, bukanlah rogol.

Huraian 1- seorang perempuan-

(a)    tinggal berasingan dari suaminya di bawah dekri pemisahan kehakiman atau suatu dekri tidak dibuat mutlak; atau

(b)   yang memperoleh injunksi menyekat suaminya dari melakukan persetubuhan dengannya, hendaklah disifatkan sebagai bukan isteri bagi maksud seksyen ini.

Huraian 2- seorang perempuan Islam yang tinggal berasingan dari suaminya dalam tempoh edah, yang mana akan dihitung mengikut Hukum Syarak, hendaklah disifatkan sebagai bukan isteri suaminya bagi maksud seksyen ini.



Jenayah rogol hanya boleh dilakukan oleh seorang lelaki ke atas seorang perempuan. Intipati jenayah rogol ialah satu hubungan seks yang dilakukan tanpa kerelaan sebenar oleh pihak perempuan. Andainya perempuan yang menjalin hubungan seks itu masih dibawah umur 16 tahun, Kanun Keseksaan masih menganggapnya sebagai suatu jenayah rogol, walaupun perempuan itu memberi kerelaan penuh dan berperanan aktif dalam hubungan seks itu. Dalam Islam rogol mempunyai makna yang hampir sama dengan paksaan berzina. Syariat Islam mendefinisikan rogol sebagai zina bi al jabr (zina paksaan) iaitu perempuan yang terpaksa berzina atau diperkosa. Mangsa yang dirogol tidak akan menanggung dosa, hanya orang yang merogol akan menanggung dosa. Namun jika perempuan itu merasa kelazatan perlakuan rogol itu, perempuan itu tidak boleh lari dari dosa.

 Berdasarkan sebuah hadis Nabi yang bermaksud Dari Alqamah bin Waiel mengenai kisah seorang wanita yang pernah dipaksa untuk berzina ia berkata: Bersabda Nabi SAW kepadanya, “Pergilah engkau sesungguhnya Allah telah mengampuni dosa engkau”, Dan ia berkata pula kepada lelaki yang telah memaksa perempuan tersebut berzina.“Rejamlah dia” Riwayat Tirmidzi. Ulama berselisih pendapat tentang jenayah rogol ini, iaitu pertama golongan yang mengatakan rogol seumpama zina, malah lebih kejam darinya, oleh itu hukumannya juga haruslah lebih keras dan berat. Golongan kedua tidak berpendapat rogol adalah zina kerana pembuktian rogol tidak memerlukan saksi.

Perbandingan antara rogol dalam Kanun Keseksaan dengan zina bil jabr dalam Undang- Undang Islam dari segi mens rea atau niat mempunyai persamaan. Berdasarkan Kanun Keseksaan, mens rea dalam perlakuan rogol ialah seseorang itu mestilah berniat untuk melakukan rogol ke atas mangsa dengan sangaja, mangsa perlakuan seks itu tidak rela diperakukan sebegitu dan tidak mahu hubungan seks itu berlaku, orang yang melakukan rogol itu mengetahui bahawa dia bukan suami kepada perempuan itu dan perempuan yang memberi kerelaan itu percaya dengan suci hati bahawa orang yang disetubuhinya adalah suaminya yang sah. Mens rea bagi zina bil jabr boleh dilihat berdasarkan definisi zina bil jabr itu sendiri yang mana persetubuhan atau zina itu mestilah berlaku secara paksaan ke atas perempuan itu. Perkara yang boleh dibangkitkan sebagai mens rea berdasarkan definisi itu ialah zina itu berlaku tanpa kemahuan perempuan itu, orang yang melakukan zina itu berniat untuk memaksa perempuan itu dan zina itu terjadi adalah kerana paksaan yang dibuat oleh lelaki itu. Oleh itu, persamaan yang boleh dilihat antara zina bil jabr dengan rogol dibawah Akta 574 ialah perlakuan seks yang terjadi adalah tanpa kerelaan perempuan itu dan wujudnya unsur paksaan dari pihak lelaki dan dilakukan dengan sengaja.

Perbandingan jenayah rogol di bawah Kanun Keseksaan dengan zina bil jabr dapat dilihat dari segi actus reus kesalahan itu. Actus reus ialah perlakuan atau perbuatan yang dilakukan dalam jenayah itu. Dari segi actus reus, terdapat persamaan antara zina bil jabr dengan rogol di bawah Kanun Keseksaan ialah perlakuan memasukkan zakar ke dalam kemaluan atau faraj perempuan tanpa kerelaan perempuan itu.

Kanun Keseksaan dalam peruntukan seksyen 376 jika sabit kesalahn, menghukum pesalah rogol dengan hukuman penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan rotan. Manakala dalam Undang-Undang Jenayah Islam pesalah zina bil jabr iaitu perogol wajib dijatuhi hukuman had zina sama ada rejam atau sebat. Bagi kesalahan sumbang mahram iaitu kesalahan merogol anak atau mahramnya sendiri hendaklah dibunuh. Hujahnya ialah orang yang menikahi atau menyetubuhi orang yang haram baginya hukumnya ialah bunuh. Maka bagi pesalah yang memperkosa anak, adik, kakak atau darah dagingnya sendiri wajib dijatuhi hukuman bunuh. Hal ini kerana perbuatan sumbang mahram ialah perbuatan yang paling keji dan jijik di sisi Islam dan masyarakat. Lagipun sesetengah fuqaha berpendapat rogol lebih teruk dari zina dan hukumannya juga mesti lebih berat dan lama. Oleh itu wajarlah hukuman bunuh bagi kesalahan orang yang merogol darah daging sendiri kerana perkara tersebut lebih keji dari zina dan melampaui batas kemanusiaan.

Jenayah lain di dalam Kanun Keseksaan yang boleh dibandingkan dengan jenayah yang jatuh dalam Undang-Undang Jenayah Islam ialah jenayah seks di luar tabii dengan jenayah liwat. Seks di luar tabii atau seks menyimpang boleh didefinisikan sebagai perlakuan seks yang secara umumnya tidak boleh diterima secara sosial dan juga tidak diterima oleh kebanyakan agama dan budaya seperti melakukan seks dengan haiwan, liwat, sumbang mahram dan lain-lain. Terdapat peruntukan mengenai jenayah seks di luar tabii dalam Kanun Keseksaan Malaysia iaitu seksyen 377, seksyen 377A, seksyen 377C, seksyen 377D dan seksyen 377E Kanun Keseksaan. Seksyen-seksyen tersebut menyebut bentuk kesalahan dan hukuman yang berbeza. Manakala maksud liwat ialah suatu persetubuhan yang dilakukan dengan memasukkan zakar ke lubang dubur sama ada yang melakukannya adalah lelaki sesama lelaki (homoseksual) atau lelaki dengan perempuan. Dr. Musthafa Dib al-Bigha dalam kitab al-Tazhib fi adillah matan al-Ghayah wa al-Taqrib, halaman 208 mendefinisikan liwat sebagai hubungan seks sesama lelaki dan juga antara lelaki dan perempuan yang bukan isterinya melalui dubur secara rela. Dalam Islam, liwat adalah suatu perbuatan terkutuk seperti mana dalam firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 80-81 yang bermaksud “Dan Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan yang jahat itu yang belum pernah dikerjakan oleh sesiapa pun di dunia ini sebelum kamu. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu tidak kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Actus reus dalam jenayah seks di luar tabii menurut Kanun Keseksaan ialah perlakuan memasukkan alat kemaluan ke dalam kemaluan binatang (seksyen 377), memasukkan kemaluan kedalam mulut atau dubur (seksyen 377A), perlakuan memasukkan sebarang objek ke dalam dubur atau kemaluan (seksyen 377 CA), melakukan kelucahan melampau (377D) dan perlakuan mempengaruhi atau memujuk seorang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun untuk melakukan kelucahan melampau (seksyen 377E). Jika dibandingkan dengan jenayah liwat di bawah Undang-Undang Jenayah Islam, actus reus dalam jenayah itu ialah perlakuan memasukkan zakar ke dalam dubur pasangannya seperti yang dijelaskan dalam definisi liwat. Dari segi mens rea seks di luar tabii, seksyen 377B dengan jelas menyebut "Sesiapa yang secara sukarela melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii .....” akan disabitkan dengan kesalahan jenayah tersebut dan seksyen 377C menekankan jenayah itu mesti dilakukan secara paksaan tanpa kerelaan pasangannya. Jenis mens rea yang berbeza dalam kedua-dua seksyen ini membezakan darjah hukuman dari aspek had minimum hukuman penjara yang dikenakan. Manakala mens rea bagi jenayah liwat di bawah Undang-Undang Jenayah Islam pula perlakuan liwat itu mestilah secara rela tanpa paksaan untuk mensabitkan orang yang diliwat dan orang yang meliwat melakukannya secara sengaja. Sebagai contoh, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 bahagian II seksyen 14 berkenaan liwat menyatakan “Sesiapa yang dengan sengaja melakukan perbuatan liwat....”

Selain itu, perbandingan kategori juga boleh dilihat antara jenayah seks di luar tabii dengan liwat. Bagi jenayah seks di luar tabii bawah Kanun Keseksaan, seksyen 377 hingga 377E mengandungi 6 peruntukan berasingan mengenai jenayah luar tabii (unnatural offences). Kategori pertama ialah persetubuhan luar tabii dengan haiwan (seksyen 377), kedua ialah persetubuhan luar tabii melalui dubur atau mulut (seksyen 377A), ketiga ialah persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan (seksyen 377C), keempat ialah perhubungan seks dengan objek sama ada melalui dubur atau kemaluan hadapan (seksyen 377 CA), kelima ialah melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau (seksyen 377D) dan yang terakhir merangsang seorang kanak-kanak dibawah 14 tahun untuk melakukan kelucahan melampau (seksyen 377E). Berbanding dengan jenayah seks luar tabii, jenayah liwat boleh dipecahkan kepada tiga iaitu perlakuan liwat yang dilakukan oleh lelaki ke atas lelaki lain, lelaki ke atas perempuan dan suami ke atas isterinya.

Seterusnya,hukuman jenayah seks di luar tabii yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan adalah berbeza dengan hukuman jenayah liwat di bawah Undang-Undang Jenayah Islam. Bagi jenayah seks di luar tabii dengan haiwan, hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat. Kesalahan mengikut seksyen 377A, akan dihukum di bawah seksyen 377B dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah disebat. Bagi kesalahan di bawah seksyen 377C, hukumannya ialah penjara tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan hukuman sebat. Jika sabit kesalahan di bawah seksyen 377D boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun dan di bawah seksyen 377E pula akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun dan hendaklah disebat. Manakala hukuman bagi jenayah liwat mengikut Undang-Undang Jenayah Islam bergantung kepada pendapat para fuqaha’ kerana para fuqaha’ bercanggah pendapat sama ada liwat itu tergolong sebagai zina atau tidak. Terdapat tiga mazhab yang mengeluarkan pendapat tentang hukuman liwat menurut Islam.

Mazhab pertama iaitu para sahabat Rasulullah seperti al-Nasir, al-Qasim bin Ibrahim dan al-Syafie mengatakan hukuman liwat ialah bunuh ke atas si peliwat dan yang diliwat. Pendapat ini bersandarkan pada hadis Rasulullah yang berbunyi “Sesiapa yang kamu dapati melakukan liwat (amalan kaum Nabi Lut) maka bunuhlah si peliwat dan yang diliwat.” Berdasarkan hadis ini, Imam al-Syafie menegaskan hukuman liwat ialah direjam dengan batu sampai mati ke atas mereka yang terbabit sama ada lelaki-lelaki tersebut sudah berkahwin ataupun belum berkahwin. Hukuman mati juga diakui oleh al-Imam Malik dan al-Imam Ahmad bin Hanbal. Mengikut mazhab kedua pula iaitu golongan al-Syafieyyah menyamakan hukuman liwat sebagai mana hukuman zina iaitu rotan bagi yang belum berkahwin dan rejam bagi yang sudah berkahwin. Bagi mazhab ketiga pula iaitu menurut al-Imam Abu Hanifah, hanya hukuman takzir yang boleh dikenakan ke atas kesalahan liwat kerana liwat bukanlah zina dan hukuman hudud tidak boleh dikenakan. Bagi hukuman meliwat isteri oleh suaminya sendiri, mazhab Syafie menyatakan hanya hukuman takzir yang dikenakan.

Kesimpulannya, banyak perbandingan yang boleh dibuat berdasarkan jenayah rogol dan seks luar tabii menurut Kanun Keseksaan Malaysia dengan jenayah zina dan liwat menurut Undang-Undang Jenayah Islam. Masyarakat melihat hukuman yang dijatuhkan oleh Undang-Undang Islam bersifat kejam namun sebenarnya hukuman dalam Undang-Undang Jenayah Islam lebih adil dan berupaya memberi peringatan dan amaran keras terhadap pesalah dan individu lain supaya tidak mengulangi dan mencuba melakukan jenayah.
p/s: perbincangan diatas lebih menjurus kepada mens rea n actus reus.

No comments:

Post a Comment