Thursday 6 December 2012

Muamalat- Hukum Tukaran Matawang (Bai' Al-Sarf)



Pertukaran matawang yang biasa dijalankan di Malaysia ialah kontrak jualbeli matawang atau Bai’ al-sarf yang bermaksud jualbeli matawang dengan matawang sama ada sama jenis atau berlainan jenis. Abdurrahman al-Maliki mendefinisikan al-sarf sebagai pertukaran harta dengan harta dalam bentuk emas atau perak sama ada pertukaran dibuat antara jenis dan kuantiti yang sama atau antara jenis yang berbeza dengan kuantiti yang sama ataupun kuantiti berbeza. Jumhur fuqaha’ mendefinisikan bai’ al-sarf sebagai akad jualbeli matawang sama ada matawang itu emas atau perak atau bahan yang lain yang diiktiraf sebagai wang yakni wang kertas yang digunakan pada masa kini. Kuwait Financial House telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas yang dipakai pada masa kini adalah menepati wang sebenar sepertimana kedudukan matawang-matawang naqd emas dan perak dan matawang-matawang lain. Antara jenis matawang yang wujud ialah matawang Riyal Saudi, Ringgit Malaysia, Dollar Amerika, Rupiah Indonesia dan lain-lain.
            Mengikut fiqh kontemporari, jual beli matawang dalam bahasa arab disebut dengan istilah tijarah an-naqd atau al-ittijaar bi al-‘umlat yang mana kitab-kitab fiqah menyebutnya sebagai al-sarf iaitu pertukaran matawang atau currency exchange. Pertukaran matawang ini dilakukan di premis-premis pengurup wang yang  berlesen atau bank-bank yang diiktiraf yang mana menawarkan perkhidmatan tukaran matawang asing. Pertukaran matawang jenis ini adalah berbeza dengan transaksi pertukaran matawang spot yang dilakukan melalui sistem atas talian atau lebih dikenali sebagai Forex Spot yang sudah jelas telah diharamkan dalam Islam kerana mengandungi unsur gharar dan riba.
            Jualbeli tukaran matawang asing yang dijalankan kini adalah satu pasaran antara pihak bank yang terbentuk dalam sekitar tahun 1971 apabila perdagangan global dipindahkan daripada kadar pertukaran tetap ke satu kadar yang boleh mengambang-ambang atau ‘floating exchange rates’. Ia adalah suatu set urusniaga di kalangan ejen-ejen pasaran tukaran matawang asing yang melibatkan pertukaran yang ditentukan oleh sejumlah wang dalam satu unit matawang dari mana-mana negara khas untuk matawng dari negara berbeza pada kadar yang disetujui pada tarikh yang ditentukan secara terperinci. Semasa pertukaran, kadar tukaran satu matawang untuk matawang lain adalah ditentukan dengan hanya penawaran dan permintaan dan ia adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Antara pihak-pihak yang terlibat dalam jualbeli tukaran matawang asing ialah bank-bank perdagangan, bank-bank pusat, pengurup wang berlesen, tabung pelaburan dan broker.
            Hukum jual beli matawang dalam Islam adalah mubah atau harus dimana para fuqaha’ telah mengharuskan jualbeli matawang berasaskan beberapa hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ubadah b. Al-Samit yang bermaksud, “Jualbeli emas dengan emas dan perak dengan perak kedua-duanya sama, tawar terima dalam majlis, jika berbeza jenis jualbelilah mengikut kehendak kamu dengan syarat tawar dan terima dalam majlis.” Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w memperakukan jualbeli emas dan perak serta matawang daripada keduanya dengan syarat jualbeli itu mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerana emas dan perak serta matawang dalah termasuk dalam bahan ribawi.
Terdapat beberapa syarat dalam menjadikan jualbeli matawang diharuskan seperti mana yang telah disentuh dalam bahagian elemen-elemen al-sarf iaitu yang pertama ialah perlulah ada persamaan dari segi kuantiti atau nilainya mestilah sama contohnya Ringgit Malaysia ditukar dengan Ringgit Malaysia. Namun jika jualbeli itu berlaku antara matawang yang berlainan jenis contohnya jualbeli matawang Ringgit Malaysia dengan Dolar Singapura, maka ia boleh berlebih kurang kerana jenisnya berlainan. Syarat yang kedua yang menjadikan pertukaran matawang menjadi harus ialah perlulah ada proses serah dan terima dilakukan semasa majlis akad iaitu dibuat secara tunai, bukannya berhutang dan bersifat bertangguh. Jualbeli matawang melalui pengurup wang atau bank ke bank adalah bersifat segera iaitu penerimaan dan penyerahan matawang yang ingin dijualbeli dilakukan dalam satu majlis akad tanpa bertangguh dan hal ini membuatkan jualbeli matawang melalui pengurup wang dan bank-bank diharuskan syarak. Syarat ketiga dalam menjadikan jualbeli matawang mnjadi transaksi yang diharuskan syarak ialah tiada syarat kiyar yang dimasukkan dalam akad jualbeli kerana jika terdapat syarat khiyar maka akad itu menjadi fasid. Akhir sekali, penangguhan penyerahan salah satu matawang atau kedua-duanya sekali tidak boleh disyaratkan kerana ia akan menjadikan jualbeli itu menjadi fasid.
Kesimpulannya, jualbeli matawang asing adalah dibolehkan dan harus selama mana ia memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan syarak. Jika ia tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, hukumnya adalah haram sepertimana yang telah difatwakan mengenai sistem Foreign Exchange (Forex) spot kerana ia menimbulkan banyak keraguan atau gharar di kalangan umat Islam.

2 comments:

  1. assalamualaikum,
    boleh saya tahu dari mana sumber rujukan? saya nak mengkaji lebih mendalam

    ReplyDelete
  2. assalam ..boleh saya tau rujukan

    ReplyDelete