Wednesday 4 January 2012

undang-undang keluarga-perkahwinan

Penjelasan mengenai perkahwinan warga Malaysia yang diupacarakan di luar negara


Mengikut definisi, perkahwinan adalah hubungan sah di sisi undang-undang yang disempurnakan melalui upacara sivil atau keagamaan antara dua individu yang ingin tinggal bersama sebagai pasangan seksual dan serumah. Perkahwinan juga adalah asas kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Perkahwinan ialah hubungan yang mengikat antara dua orang yang diiktirafkan oleh pihak berkuasa sivil dan diikat oleh kepercayaan agama kedua- dua pihak yang terlibat iaitu suami dan isteri. Menurut Islam, perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab. Dalam erti kata lain, suatu akad yang menghalalkan persetubuhan dengan sebab perkataan yang mengandungi lafaz nikah, perkahwinan dan sebagainya.



            Statut yang bekaitan dengan perkahwinan dan perceraian ialah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang mula berkuatkuasa pada 1 Mac 1982. Akta ini menegaskan penyatuan semua undang-undang berhubung dengan perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam, semua perkahwinan mestilah perkahwinan monogamus dan semua perkahwinan perlu didaftarkan. Dalam perkahwinan, setiap pasangan mesti melalui proses atau prosedur perkahwinan. Proses yang dimaksudkan ialah setiap pasangan yang bakal berkahwin mesti memenuhi syarat-syarat asas perkahwinan, memenuhi semua langkah-langkah permulaan bagi perkahwinan, melakukan pengupacaraan perkahwinan dan mendaftarkan perkahwinan di bawah Akta 164.





            Dalam perkahwinan, upacara perkahwinan merupakan salah satu perkara yang  perlu dijalankan sebagai bukti menunjukkan terbentuknya sebuah perkahwinan yang sah antara kedua-dua pihak. Perkahwinan seharusnya dilakukan secara terbuka dan dihebah-hebahkan supaya masyarakat mengetahui siapakah pihak-pihak dalam perkahwinan itu dan bukannya dilakukan secara rahsia dan tertutup. Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 memperuntukkan pengupacaraan perkahwinan dalam seksyen-seksyen 22 hingga 26 yang menyatakan bagaimana sesuatu perkahwinan diupacarakan sama ada perkahwinan sivil atau perkahwinan mengikut agama atau adat istiadat sesuatu kaum, tempat-tempat perkahwinan itu dilangsungkan atau diupacarakan sama ada dalam Malaysia atau di luar negeri, dan pihak-pihak yang terlibat dalam pengupacaraan sesuatu perkahwinan itu selain daripada pihak pengantin itu sendiri.



            Pengupacaraan perkahwinan dilakukan setelah sijil atau surat perakuan dikeluarkan dan upacara perkahwinan itu mestilah dilakukan dalam masa enam bulan dari tarikh pemberitahuan perkahwinan itu mula disiarkan. Menurut seksyen 18 Akta 164, jika upacara perkahwinan tidak dibuat dalam tempoh enam bulan itu, maka segala perbuatan berikutnya adalah batal. Perkahwinan yang hendak diupacarakan itu boleh dilakukan sama ada di dalam Malaysia atau pun di luar negara. Untuk suatu perkahwinan itu disifatkan berdaftar di bawah Akta 164, tidak semestinya perkahwinan itu perlu diupacarakan di Malaysia sahaja. Perkahwinan yang diupacarakan di luar negara juga boleh didaftarkan di bawah Akta 164 . Terdapat banyak pasangan yang berkahwin di luar negara tidak kira sama ada salah seorang daripada pasangan itu warganegara Malaysia atau kedua-dua pasangan itu adalah warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara atas alasan-alasan yang tertentu  dan berhasrat melakukan upacara perkahwinan mereka di luar negara.

           

Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 ada memperuntukkan bagaimana sesuatu perkahwinan itu boleh diupacarakan di luar negara. Peruntukan yang relevan mengenai pengupacaraan perkahwinan yang dilakukan di luar negara ialah seksyen 26 Akta 164. Seksyen ini menjelaskan seseorang yang dilantik sebagai Pendaftar mengikut subsesyen 28(4) Akta 164 boleh mengupacarakan sesuatu perkahwinan antara rakyat Malaysia yang berada di luar negara atau mempunyai domisil di Malaysia tetapi tinggal di luar negara. Jika tiada sebarang bantahan tentang perkahwinan tersebut daripada pihak berkuasa negeri di mana Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia itu terletak, maka pengupacaraan itu boleh berlangsung. Pendaftar yang dimaksudkan di dalam seksyen 28(4) ialah kakitangan diplomatik Malaysia di luar negara yang dilantik oleh Menteri untuk bertindak sebagai Pendaftar Perkahwinan untuk menguruskan hal-hal perkahwinan yang diupacarakan megikut seksyen 26. Dalam tatacara biasa yang dilakukan oleh pihak kerajaan, perlantikan pegawai-pegawai berkenaan diberitahu melalui pemberitahuan dalam Warta.

           

Perkara penting yang perlu diketahui oleh mana-mana pasangan yang ingin mengupacarakan perkahwinan mereka di luar negara juga ada dinyatakan dalam seksyen 26 Akta 164. Mana-mana pihak yang ingin mengupacarakan perkahwinan mereka di luar negara mestilah memuaskan hati pihak Pendaftar Perkahwinan sepertimana yang dijelaskan dalam subseksyen 26(1)(a) hingga (d). Pendaftar itu mestilah berpuas hati bahawa salah seorang ataupun kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu adalah warganegara Malaysia. Hal ini bermaksud jika suami atau isteri dalam pasangan perkahwinan itu adalah rakyat negara lain, perkahwinan itu masih lagi boleh diupacarakan oleh Pendaftar Perkahwinan tersebut. Seterusnya, pasangan itu juga harus memastikan bahawa mereka berkeupayaan untuk berkahwin mengikut Akta 164 iaitu setiap pihak dalam perkahwinan itu mestilah cukup umur sepertimana yang dinyatakan dalam seksyen 10 yang menyatakan tak sah perkahwinan itu jika salah satu pihak berumur di bawah umur minimum perkahwinan iaitu di bawah lapan belas tahun dan bagi pihak perempuan jika berumur enam belas tahun mestilah mengemukakan suatu lessen kebenaran untuk berkahwin yang diberikan oleh Ketua Menteri di bawah subseksyen 21(2).



 Selain itu, perkahwinan yang diupacarakan itu mestilah bukan suatu perkahwinan yang bertentangan dengan undang-undang domisil kepada pihak yang tidak berdomisil di Malaysia itu. Contohnya, jika pihak perempuan itu berdomisil di England manakala pihak lelaki berdomisil di Malaysia, perkahwinan yang akan diupacarakan itu akan dianggap sah di negara pihak perempuan itu iaitu di England. Pasangan yang ingin mengupacarakan perkahwinan itu juga perlu mematuhi segala peruntukan dalam seksyen 14 hingga seksyen 18 atau seksyen 20 (permulaan bagi perkahwinan) Akta 164 sebelum perkahwinan itu boleh diupacarakan. Permulaan bagi perkahwinan yang dimaksudkan ialah pemberitahuan mengenai perkahwinan yang dicadangkan mestilah diberi sekurang-kurangnya dua puluh satu hari dan tidak lebih daripada tiga bulan, pemberitahuan itu perlulah disiarkan di pejabat Pendaftar di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul di mana perkahwinan itu akan diupacarakan dan di Pejabat Pendaftar bagi daerah perkahwinan dalam Malaysia di mana tiap-tiap satu pihak itu biasanya tinggal akhir sekali dan tiada kaveat atau bantahan yang diterima.



Kesimpulannya, kesan bagi perkahwinan yang diupacarakan di luar negara mengikut Akta 164 ialah segala acara bagi pengupacaraan dan pendaftaran perkahwinan itu adalah sama seperti yang dilakukan di Malaysia. Mengikut subseksyen 26(3), pengupacaraan sesuatu perkahwinan yang diupacarakan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia yang terletak di mana-mana negara jika telah memenuhi syarat-syarat dan keperluan mengikut Akta 164 maka ia boleh disifatkan sebagai suatu perkahwinan yang diupacarakan di Malaysia.
p/s: tak kira dimana saja kita boleh kahwin....so, elakkan seks rambang...no free sex, no aids..


No comments:

Post a Comment