Jenayah curi dan rompak bukan sahaja diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan malah terdapat juga di dalam Undang-Undang Jenayah Islam. Kedua-dua sumber perundangan ini jika dibandingkan sememangnya berbeza dari segi definisi, mens rea, actus reus, peruntukan, hukuman dan pelaksanaan hukumannya.
Perbuatan curi biasanya membawa maksud mengambil sesuatu milik orang lain tanpa izin dan selalunya dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Menurut Kanun Keseksaan, kesalahan curi diperuntukkan dalam seksyen 378 yang mengatakan “Barangsiapa yang bermaksud hendak mangambil dengan curangnya apa-apa harta yang boleh dialih daripada milik mana-mana orang dengan tiada kerelaan orang itu, menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya, adalah dikata melakukan kesalahan mencuri.” Jenayah curi mengikut perspektif Islam, curi dalam bahasa Arab dipanggil sariqah yang bermaksud mengambil sesuatu secara sulit dan menurut syara’ pula curi adalah mengambil harta orang lain secara sulit tanpa sebarang hak dari tempat simpanannya dengan syarat-syarat tertentu. Jenayah curi menurut Undang-Undang Islam menekankan 2 komponen iaitu pencuri dan barang yang dicuri. Oleh kerana jenayah curi termasuk salah satu jenayah yang dikenakan hukuman Hudud, maka syarat-syarat untuk mensabitkan seseorang melakukan jenayah curi ini adalah ketat.
Perbandingan jenayah curi dalam Kanun Keseksaan dengan curi dalam Undang-Undang Jenayah Islam terkandung di dalam mens rea jenayah itu sendiri. Mens rea bermaksud niat atau tujuan si pencuri yang melakukan kesalahan curi itu. Unsur mens rea dalam kesalahan curi menurut Akta 574 ialah pencuri itu mestilah berniat curang atau dishonest intention untuk mengambil harta itu. Di dalam Kanun Keseksaan, niat curang adalah unsur yang perlu dipenuhi dalam kesalahan mencuri, iaitu niat hendak mengambil dengan curang. Maksud dengan curang adalah seperti yang diterangkan dalam seksyen 24 Kanun Keseksaan iaitu “Barangsiapa yang melakukan sesuatu perkara dengan niat hendak menyebabkan kedapatan salah kepada seseorang, atau kehilangan salah kepada seseorang lain, adalah dikatakan melakukan perkara itu dengan curang.” Unsur niat curang ini mestilah wujud ketika harta itu mula digerakkan oleh penjenayah. Selain itu, unsur kerelaan pemilik harta itu juga termasuk dalam kategori mens rea. Perbuatan mengambil harta orang lain tanpa kerelaan atau izin tuan punya harta adalah suatu kesalahan mencuri namun jika perbuatan mengambil harta orang lain dengan mendapat kerelaan atau izin tuan punya harta itu bukanlah suatu perbuatan mencuri. Manakala mens rea bagi kesalahan mencuri bawah Undang-Undang Islam ialah si pencuri itu melakukan kesalahan mencuri dengan sengaja dan bukannya mencuri dalam keadaan darurat, dipaksa untuk mencuri atau terpaksa mencuri kerana terlalu lapar, terlalu miskin dan sebagainya. Hukuman hadd tidak akan dikenakan kepada seseorang yang telah dipaksa mencuri dan seseorang yang terpaksa mencuri kerana terlalu lapar atau terlalu miskin. Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hadd, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir keatas pencuri itu mengikut kearifan dan kebijaksanaannya.. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :”Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”(Al- Ashbah dan An – Nazha’ir). Pencuri itu juga perlu ada niat untuk menghilangkan harta itu dari jangkauan tuannya semasa memindahkan harta tersebut. Selain itu, mens rea dari segi pengetahuan seseorang tentang pengharaman mencuri juga penting dalam menyabitkan seseorang di bawah Undang-Undang Jenayah Islam. Contohnya, seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan akan pengharaman mencuri seperti orang gila yang melakukan kesalahan mencuri tidak boleh disabitkan kesalahan curi. Hal ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Diangkat pena (dosa) dari 3 pihak, orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang gila sehingga dia berakal” (Hadis riwayat Muslim).
Perbandingan kesalahan curi antara Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Islam dapat dilihat dari segi actus reus atau ciri-ciri fizikal yang terlibat dalam jenayah curi. Merujuk kepada seksyen 378 Kanun Keseksaan, perkataan yang menunjukkan actus reus yang ada dalam kesalahan curi ialah perkataan ‘mengambil’ harta yang boleh dialih dan ‘menggerakkan’ harta itu. Hal ini bermakna seseorang yang melakukan perbuatan mengambil dan menggerakkan harta milik orang lain dengan tujuan mencuri seperti mana yang diterangkan dalam seksyen 378 itu adalah dikatakan melakukan perbuatan curi di bawah Kanun Keseksaan. Unsur actus reus ‘mengambil’ ialah harta itu mestilah diambil keluar daripada milik (take out of the possession) orang lain. Kanun Keseksaan memperuntukkan harta yang dicuri itu hendaklah dikeluarkan daripada milik orang yang memilikinya. Istilah ‘milik’ tidak diterangkan secara terperinci di dalam Kanun Keseksaan, tetapi seksyen 27 Kanun Keseksaan dapat digunakan sebagai panduan iaitu “Apabila harta ada dalam milik isteri, kerani atau orang gaji seseorang, bagi pihak orang itu, maka harta itu adalah dalam milik orang itu dalam erti kanun ini.” Yang dimaksudkan dengan ‘menggerakkan’ ialah pencuri itu perlu menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya. Suatu bentuk pergerakan mestilah wujud terhadap harta itu. Maksud ‘menggerakkan’ tidak semestinya menggerakkan harta itu keluar jauh dari capaian pemiliknya tetapi sudah memadai dengan tujuan hendak mengambilnya. Ia sudah boleh disabitkan kesalahan mencuri di dalam undang-undang jenayah moden. Actus reus curi menurut Islam juga lebih kurang serupa seperti actus reus curi mengikut Kanun Keseksaan iaitu memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milikan tuannya tanpa izin pemilik harta itu. Persamaan jenayah curi menurut Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Islam ialah perlakuan mencuri itu berlaku secara sembunyi-sembunyi dan bukan secara terang-terangan.
Hukuman dan cara pelaksanaan hukuman antara jenayah curi menurut Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Jenayah Islam juga berbeza. Seksaan bagi kesalahan mencuri mengikut Kanun Keseksaan Malaysia diperuntukkan di bawah seksyen 379 yang mengatakan “Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 3 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian bolehlah dikenakan penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.” Selain itu, seksyen 380 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan ”Barangsiapa melakukan kesalahan mencuri dalam mana-mana bangunan, khemah atau perahu yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia, atau untuk simpanan harta benda, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat”. Manakala bagi kesalahan pecah rumah dan curi pula seksyen 454 memperuntukkan hukuman penjara selama 3 tahun dan denda dan jika kesalahannya ialah mencuri maka tempoh penjara boleh dilanjutkan hingga 10 tahun.
Hukuman jenayah curi di bawah Undang-Undang Jenayah Islam pula terdapat dalam ayat Al-Quran surah al-Maidah ayat 38 hingga 39 yang menyebut : “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah, dan Allah maha perkasa lagi bijaksana. Maka barangsiapa bertaubat (diantara pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah maha pengampub lagi maha penyanyang”. Para ulama’ bersepakat menyatakan bahawa apabila tangan pencuri telah dipotong dan barang yang dicuri masih ada,wajib dikembalikan barang itu kepada tuannya. Tetapi jika barang itu sudah rosak, ulamak berselisih pendapat mengenainya. Menurut Hanafi, pencuri yang telah dipotong tangannya tidak wajib lagi mengantikan barang yang rosak ditangannya itu atau membayar harganya.Manakala menurut Maliki pula, jika pencuri itu orang kaya semasa menjalani hukuman potong tangan, wajib memotong tangan dan membayar ganti rugi barang yang rosak itu. Tetpi jika dia orang miskin, maka tidak wajib menggantikan barang yang telah rosak itu. Manakala menurut Syafie dan Hambali pula hendaklah memotong tangan bersama membayar ganti rugi barang yang telah rosak samaada orang itu miskin atau kaya. Apabila berulang kali mencuri, para ulamak bersepakat menyatakan wajib memotong tangan kanan pada mencuri kali pertama. Apabila mencuri kali kedua, hendaklah dipotong kaki kiri hingga buku lali kecuali Hambali berkata tidak ada had lagi selepas kali ke dua. Pencuri itu hendaklah membayar harga harta barang yang di curi dan dikenakan ta’zir serta ditahan sehingga dia beertaubat. Sementara menurut Maliki dan Syafie pula, jika sekiranya pencuri mencuri kali ke tiga maka dipotong tangan kiri dan jika mencuri kali keempat maka hendaklah dipotong kaki kanan pula. Kemudian di ta’zirkan jika mencuri lagi. Pemotongan tangan keatas seorang yang telah sabit melakukan jenayah curi oleh mahkamah hendaklah dilakukan dengan cara yang dianggap paling mudah dan sesuai. Menurut catatan Ibn Qudamah, orang yang akan menjalankan hukuman potong tangan hendaklah diletakkan dalam keadaan duduk,diikat badannya agar dia tidak dapat bergerak yang mana ia boleh membahayakan dirinya, diikat tangannya dengan meninggalkan bahagian yang hendak dipotong iaitu pergelangan dan diletakkan pisau yang tajam pada pergelangan tangan itu. Pemotongan tangan itu haruslah dilakukan secara kuat dan pantas supaya dapat memotong tangan itu serta merta.
Seterusnya ialah perbandingan jenayah rompak atau samun antara Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Jenayah Islam. Mengikut kamus dewan bahasa dan pustaka, maksud samun sama erti dengan rompak, samun dan sakal. Samun boleh juga di maksudkan sebagai mengangkat senjata untuk mengganggu ketenteraman rakyat, sama ada membunuh, merompak, memeras dan lain-lain. Mengikut bahasa Arab pula, pelaku jenayah ini iaitu perompak dinamakan sebagai ‘qatta’u al-tariq’ yang bermaksud pemutus jalan. Mereka dinamakan sedemikian kerana orang ramai terpaksa mengelak melalui jalan tersebut, seolah-olah mereka benar-benar memutuskan jalan.
Dalam istilah syariah pula, samun membawa maksud serangan bertujuan merampas harta, membunuh atau menakutkan dengan cara terang-terangan, angkuh dan menggunakan kekuatan di kawasan yang terpencil daripada bantuan. Ia dilakukan oleh mukallaf yang tertakluk kepada undang-undang termasuk ahli zimmi dan orang murtad. Kesalahan merompak jatuh di bawah jenayah hudud yang boleh dikenakan hukuman hadd. Menurut Kanun Keseksaan, kesalahan rompak dinyatakan dalam seksyen 390 (1),(2) dan (3) yang menjelaskan bagaimana kesalahan mencuri dan pemerasan boleh menjadi rompak. Rompakan merupakan kecurian atau peras ugut akan tetapi dalam bentuk yang lebih teruk. Oleh itu, unsur-unsur peras ugut dan kecurian harus ada disamping adanya keadaan yang ditetapkan dalam rompakan. Rompakan boleh terjadi dalam dua keadaan iaitu rompakan berseorangan atau rompakan berkumpulan seperti yang dinyatakan dalam seksyen 391 Kanun Keseksaan.
Unsur mens rea jenayah rompak menurut Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Islam adalah sama iaitu semasa rompakan, perompak itu berniat untuk merampas harta milik orang lain dengan sengaja, berniat untuk membunuh pemilik harta itu atau mempunyai niat untuk mencederakan orang lain. Tanpa niat tersebut yang menjadi faktor mens rea terhadap rompakan itu, maka mustahil terjadinya jenayah rompak itu.
Perbandingan actus reus dalam jenayah rompak mengikut Undang-Undang Jenayah Islam ialah perlakuan atau perbuatan pencerobohan ganas dan menyerang bertujuan untuk merampas harta, membunuh atau menakutkan dengan cara terang-terangan, serta membunuh dan merompak harta. Selain itu, perompak itu juga bertindak merampas harta dengan kekerasan sama ada membawa kepada kematian atau kecederaan terhadap pemilik harta yang dirampas. Dengan berdasarkan definisi rompak yang telah dijelaskan, perbuatan menganggu laluan awam dengan tujuan menakut-nakutkan manusia juga terjumlah kepada actus reus. Mengikut Kanun Keseksaan, terdapat pecahan actus reus mengikut peruntukan seksyen-seksyen. Oleh kerana seksyen 390 (1) menyatakan “Dalam segala rompak ada kesalahan mencuri atau pemerasan”, maka actus reus rompak mengikut konteks Kanun Keseksaan adalah melibatkan perlakuan mencuri atau memeras itu sendiri, perlakuan atau cubaan merompak yang dilakukan oleh dua atau lebih orang (rompak berkumpulan dalam seksyen 391), perbuatan menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan (seksyen 394), melakukan pembunuhan semasa rompakan (seksyen 396), merompak dengan bersenjata sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan (seksyen 397), dan perlakuan berhimpun untuk melakukan rompakan (seksyen 402). Sebagai contohnya dalam misalan (b) iaitu A bertemu Z di jalan raya sambil menunjukkan sepucuk pistol dan meminta kepada Z dompetnya. Di sini, A telah peras ugut Z untuk mengambil dompet Z dengan menempatkan diri Z ke dalam ketakutan untuk tercedera. A telah melakukan rompakan. Actus reus dalam misalan ini ialah A menunjukkan sepucuk pistol kepada Z, meminta dompet Z dan memeras ugut Z.
Hukuman rompak dan menyamun menurut Undang-Undang Jenayah Islam ialah sekiranya membunuh hendaklah dibunuh, jika hanya merompak sahaja hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara. Dalil perundangan berdasarkan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Maidah:33 yang bermaksud “Sesungguhnya balasan (yang setimpal) bagi orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya dan berusaha melakukan kerosakan di muka bumi ialah mereka dihukum bunuh atau dihukum salib atau dipotong tangan dan kaki mereka secara berselang atau dibuang negeri demikianlah mereka mendapat kehinaan di dunia dan di Akhirat kelak mereka akan menperolehi azab yang amat besar .” Manakala hukuman bagi jenayah rompak dalam Kanun Keseksaan ada dinyatakan dalam seksyen 392 hingga seksyen 402.
Kesimpulannya, banyak perbandingan sama ada persamaan atau perbezaan dalam jenayah curi dan rompak menurut Kanun Keseksaan dengan Undang-Undang Jenayah Islam. Dalam Undang-Undang Islam, kedua-dua jenayah itu termasuk dalam kesalahan hudud yang jika disabitkan boleh dikenakan hadd. Masyarakat kini memandang hukuman hudud adalah hukuman yang kejam kerana mereka kekurangan maklumat tentang syarat-syarat pelaksanaan hukuman hudud yang ketat. Jika dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia, unang-undang Islam lebih menyeluruh dan bersifat memberi amaran keras supaya umat Islam tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan jenayah.
boring baca law.huh
ReplyDeletegood info.. =)
ReplyDeleteada tak senarai rujukan bagi info-info ynag diberikan?
ReplyDelete