Saturday, 10 November 2012

KEPERLUAN MENJAGA NASAB KETURUNAN- UU KELUARGA ISLAM



Nasab keturunan merupakan sesuatu yang amat penting dalam Islam. Hal ini terbukti dalam sejarah Islam di mana ketika Rasulullah s.a.w telah mengambil seorang anak angkat yang bernama Zaid bin Haritsah. Anak tersebut dinasabkan oleh orang-orang ketika itu kepada Nabi dan kemudian Allah menurunkan ayat Al-Quran surah al-Ahzab ayat 4 hingga 5 yang menegur perbuatan menasabkan anak angkat tersebut kepada Nabi yang berbunyi: 

Maksudnya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zhihar[1] itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataan dimulutmu sahaja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya. Dan Dia menunjukkan jalan yang benar. Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka, itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka maka (panggillah) mereka sebagai saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu[2]. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf kepadanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Alllah maha pengampun lagi maha penyayang”.

            Ayat di atas menjelaskan bahawa anak angkat tidak boleh menjadi anak kandung dan anak angkat itu tetap dinasabkan kepada ayah kandungnya, bukannya ayah angkatnya walaupun anak itu diangkat sejak dari bayi kerana anak angkat itu bukanlah datang daripada keturunan keluarga angkat tersebut. Dalam satu hadis Nabi ada mengatakan “ Barangsiapa yang menisbahkan dirinya kepada selain ayah kandungnya padahal ia mengetahui bahawa itu bukanlah ayah kandungnya, maka haram baginya bau syurga[3].” Hadis ini menjelaskan tidak boleh seseorang menasabkan dirinya kepada orang lain selain ayah kandungnya apabila dia mengetahui orang itu bukanlah ayah kandungnya dan hukumnya adalah haram. Nasab merupakan suatu nikmat yang besar kepada manusia yang diturunkan Allah sepertimana yang telah diterangkan dalam surah al-Furqan ayat 54 yang berbunyi:

Maksudnya: “dan Dia pula yang menciptakan manusia dari air, lalu Dia jadikan manusia itu (punya) keturunan mushaharah ( hubungan kekeluargaan yang berasal dari perkahwinan) dan adalah tuhanmu yang maha kuasa”.

            Ayat diatas menerangkan bahawa nasab adalah suatu nikmat kurniaan Allah dan nasab juga merupakan salah satu dari lima maqasid al-syariah[4]. Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia. Terdapat lima maqasid al-syariah yang berhubung dengan manusia (dhururiyat al-khamsah) iaitu yang pertama untuk memelihara agama, kedua memelihara nyawa, ketiga memelihara keturunan, keempat memelihara akal dan yang terakhir memelihara harta. Kelima-lima tersebut merupakan prinsip asas Islam. Memelihara nasab keturunan merupakan salah satu daripada prinsip asas tersebut dan hal ini membuktikan bahawa pentingnya untuk menjaga kesucian nasab keturunan di dalam Islam. Beberapa perkara telah digariskan dalam menjaga keturunan menurut maqasid al-syariah. Bagi memelihara keturunan, hukuman hudud akan dikenakan ke atas penzina dan orang yang menuduh zina atau qazaf. Hal ini kerana, persetubuhan yang dilakukan sebelum pernikahan akan membenihkan janin dan jika yang melakukan persetubuhan itu adalah perempuan yang telah berkahwin dengan lelaki yang bukan suaminya, maka dikhuatiri akan timbulnya kekeliruan nasab keturunan bayi tersebut dan ianya akan membawa kepada akibat yang buruk pada masa hadapan.

            Selain itu, hukum iddah kepada perempuan yang bercerai memainkan peranan dalam mengelak berlakunya kekeliruan nasab anak. Iddah ialah tempoh menunggu bagi perempuan yang telah diceraikan dan sepanjang tempoh ini, mereka tidak boleh berkahwin dengan lelaki yang lain. Bagi perempuan yang diceraikan, tempoh iddah ialah 3 kali suci, bagi perempuan yang mengandung, tempoh iddahnya adalah sehingga bayi itu dilahirkan dan bagi perempuan yang bercerai mati, tempoh iddahnya ialah 4 bulan 10 hari manakala bagi perempuan yang diceraikan tetapi belum disetubuhi, tiada tempoh iddah baginya. Selain itu, terdapat juga hukum yang menyenaraikan perempuan-perempuan yang haram dikahwini bagi tujuan menjaga nasab keturunan. Terdapat dua kumpulan wanita yang tidak boleh dikahwini oleh lelaki bagi tujuan menjaga nasab iaitu haram mu’abbad dan haram mu’aqqat. Kumpulan haram mu’abbad ialah mereka yang mempunyai hubungan nasab, mereeka yang mempunyai hubungan susuan dan mereka yang mempunyai hubungan persemendaan iaitu seperti ibu mertua, anak tiri, ibu tiri, menantu dan adik atau kakak iparnya. Disamping itu, Islam juga mengharamkan pengklonan manusia dan menasabkan anak luar nikah kepada diri sendiri.

             Tambahan lagi, nasab keturunan juga perlu dijaga demi menjaga maruah atau aib kepada keluarga mahupun anak itu sendiri. Hal ini kerana, anak yang tidak diketahui nasabnya atau yang dilahirkan diluar tali pernikahan seringkali sukar untuk diterima oleh masyarakat dan sering dipandang hina. Walaupun status mereka adalah anak luar nikah dan tidak diketahui nasabnya, namun ia bukanlah kesalahan mereka untuk dilahirkan sebegitu. S.S. Dato’ Abdul Kadir Talib, Mufti Wilayah, telah menyebut tentang satu persepsi dalam anggota masyarakat berkaitan dengan anak yang tidak sah tarafnya iaitu apabila perempuan dan lelaki berzina sehingga perempuan tersebut hamil, jika pasangan itu berkahwin sebelum masa janin yang dikandung itu dimasukkan rohnya (sebelum janin sempurna empat bulan) maka janin itu harus dibinkan atau dibintikan kepada suami ibunya, iaitu bapanya yang tidak sah taraf dan anak tersebut dianggap sebagai anak sah taraf. Tetapi, jika pasangan itu berkahwin selepas janin itu ditiupkan rohnya maka anak itu tidak harus dibinkan atau dibintikan kepada bapa kandung yang menjadi suami ibunya. Namun, dari sudut Islam, anak itu masih dianggap sebagai anak tidak sah taraf kerana pembenihan janin itu telah berlaku sebelum pasangan tersebut menikah[5].

            Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam mencari calon isteri kepada lelaki. Nabi s.a.w telah berpesan bahawa kahwinilah wanita itu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya dan kerana agamanya, dan jika memilih wanita itu kerana agamanya maka seejahteralah hidup. Faktor keturunan menjadi salah satu sebab dalam memilih wanita tersebut sebagai isteri. Jika anak tersebut hasil daripada zina dan tidak tahu asal keturunannya, maka hal ini akan mendatangkan aib dan mencalarkan maruahnya di samping menimbulkan masalah dalam hal perkahwinannya di masa hadapan.


[1] Zihar ialah perkataan suami kepada isterinya, “Punggungmu haram bagiku seperti punggung ibuku,” atau perkataan lain yang sama maksudnya. Menjadi adat kebiasaan orang Arab Jahilliah bahawa apabila dia berkata demikian kepada isterinya maka isterinya itu haram baginya untuk selamanya. Namun yang haram bagi selama-lamanya itu telah dihapuskan selepas kedatangan Islam yang mana isterinya adalah halal semula baginya setelah membayar kafarat (denda).
[2] Maula-maula adalah hamba yang sudah dimerdekakan atau seseorang yang telah dijadikan anak angkat.
[3] Imam Muslim, Shahih Muslim, (Beirut: Dar Al-Fikr,t.th), hlm 52.
[4] Al-Syathibi, al-Muwafaqat fi Ushul al-Syari‟ah, (Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyah, t.t), juz.II, h.12-23.
[5] Wawancara telefon dengan S.S. Dato’ Abdul Kadir Talib, Mufti Wilayah, 1993, 23 hb Jan 1993.

1 comment: