Thursday 6 December 2012

UU Jenayah Islam- Sumpah Lian ( contoh soalan dan jawapan)

Soalan:



Mat Lepak seorang mahasiswa UKM yang telah berkahwin. Beliau biasanya pulang ke rumah pada hujung minggu atau pada cuti-cuti semester yang panjang. Pada suatu minggu, pensyarahnya En. Jasri telah membatalkan kuliah dan tutorial pada minggu itu kerana menghadiri satu kursus wajib universiti dan Mat Lepak ingin pulang awal ke rumahnya pada minggu itu. Sekembalinya ke rumah, beliau dapati ada sepasang kasut terletak di tangga rumahnya. Beliau mengesyaki sesuatu lalu membuka pintu rumah perlahan-lahan dan menuju ke bilik tidurnya. Tiba-tiba beliau terserempak dengan seorang lelaki yang sedang tidur dengan isterinya di atas katil. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12 malam,1 Januari 2000.
Apakah yang patut dilakukan oleh Mat Lepak untuk mensabitkan kes zina isterinya? Selesaikan kes ini berdasarkan nas Al Quran dan Hadis.

 Contoh Jawapan:

Hak-hak yang boleh disabitkan dengan sumpah dan hak-hak yang tidak boleh disabitkan dengan sumpah.

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara berkaitan dengan pensabitan hak Allah semata-mata sama ada kesalahan hudud atau ibadah melainkan jika ia melibatkan hak manusia kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti. Namun fuqaha’ berpendapat diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara berkaitan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Fuqaha’ juga bersependapat bahaw diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah melibatkan kesalahan qisas, termasuk sebahagian perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.
Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga dan tidak melibatkan masyarakat awam. 


Sumpah Lian suami dan isteri

Dalam situasi Mat Lepak, beliau boleh melakukan lian dalam mensabitkan kesalahan jenayah zina ke atas isterinya. Lian menurut bahasa beerti kutukan. Menurut istilah pula lian bermaksud persumpahan suami bagi mensabitkan pertuduhan zina terhadap isterinya manakala isterinya pula bersumpah untuk menafikan tuduhan tersebut. Terdapat 2 jenis lian iaitu lian suami dan lian isteri. Lian suami ialah suami menuduh isteri berzina tanpa mengemukakan 4 orang saksi. Secaranya umumnya, jika tidak dibuktikan dengan 4 orang saksi orang yang menuduh boleh disabitkan dengan  Qazaf atau tuduhan zina dengan hukuman 80 kali sebatan seperti yang dinyatakan dalam surah an-Nur: 4 yang menyatakan bahawa tuduhan zina yang dibuat terhadap wanita-wanita baik tanpa kemukakan 4 orang saksi boleh dikenakan sebat 80 kali dan kesaksian mereka tidak akan diterima selama-lamanya.
Namun begitu, dalam kes tuduhan zina suami terhadap isterinya, 4 orang saksi digantikan dengan sumpah si suami di hadapan hakim di atas mimbar masjid dihadapan orang ramai sekurang-kurangnya 4 orang. Merujuk kepada surah an-Nur ayat 6-9 menyatakan sekiranya suami menuduh isterinya berzina tanpa mendatangkan 4 orang saksi, maka suami perlu bersumpah laknat dan isteri juga disuruh bersumpah laknat jika ingin menafikan tuduhan zina tersebut. Ayat ini dijadikan dalil berkaitan hukum sumpah laknat yang hanya boleh digunakan bagi mereka yang mempunyai hubungan suami isteri dan tidak boleh digunakan oleh oarang yang tiada kaitan tersebut. Hal ini kerana lelaki yang bukan suami wanita itu tidak ada apa-apa kepentingan antara mereka berdua yang perlu dijaga sama ada dari segi maruah atau keturunan zuriat. Berbeza dengan seorang suami, dia akan mendapat malu jika isterinya berzina bahkan akan menjejaskan hubungan mereka sebagai suami isteri dan mencemarkan keturunan.
Mat Lepak perlu membuat sumpah laknat dalam menyabitkan kes zina terhadap isterinya. Jika isterinya mengandung dan Mat Lepak tidak mengaku bahawa kandungan itu anaknya, maka beliau perlu menambah lagi sumpahnya dengan mengatakan ‘..dan anak yang di dalam kandungannya itu adalah anak zina, bukan anak daripada saya.’ Contoh sumpah penuh yang perlu disebut oleh Mat Lepak ialah ‘ Saya bersaksi dengan nama Allah bahawa sesungguhnya isteri saya (nama penuh isteri) telah berzina dengan lelaki bernama (nama penuh lelaki itu)’, jika isterinya mengandung ditambah lagi sumpahnya ‘....anak yang dikandungkannya ketika ini adalah anak zina ,bukannya anak saya. Dengan nama Allah saya mengaku bahawa segala tuduhan saya ini adalah benar belaka.’ Ucapan sumpah itu mesti diulang sebanyak 4 kali sebagai ganti 4 orang saksi untuk melepaskan diri daripada kesalahan Qazaf. Kali kelima ditambah dengan sumpahnya bahawa dia akan dilaknat Allah s.w.t jika dia berdusta dengan tuduhannya itu. Dengan sumpah yang dibuat oleh Mat Lepak, jenayah zina akan sabit ke atas isterinya kecuali jika isterinya juga sanggup bersumpah menegaskan bahawa dia tidak melakukan zina. Apabila kedua-duanya mengangkat sumpah, maka hukuman qazaf tidak akan dikenakan terhadap Mat Lepak dan isterinya terlepas dari hukuman hudud zina. Dengan itu, tertalaklah isterinya buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment