Wednesday 12 December 2012

ciri-ciri syarikat



Syarikat ditubuhkan melalui pendaftaran di bawah Seksyen 4 Akta Syarikat 1965 yang menjelaskan bahawa ‘syarikat’ merupakan syarikat yang diperbadankan di bawah Akta ini atau enakmen yang sebelumnya. Syarikat ialah sebuah persatuan yang diperbadankan yang menjadikannya sebagai entiti yang berasingan daripada orang yang menubuhkannya. Hal ini bermakna syarikat dianggap sebagai ‘seseorang’ di bawah maksud perundangan dan ia tidak termasuk dengan orang yang menubuhkan syarikat tersebut sepertimana yang diputuskan di dalam kes Solomon v. Solomon & Co. Ltd.[1] Kesannya ialah syarikat boleh mendakwa dan didakwa di sisi undang-undang atas namanya sendiri, boleh mewarisi dan memiliki harta secara kekal serta menghadkan tanggungan ahli-ahlinya sebagimana yang dinyatakan dalam Seksyen 16(5).[2]
Dari segi tanggungan setiap ahli syarikat, ia boleh jadi terhad atau tidak terhad, bergantung kepada pembahagian sesebuah syarikat. Tanggungan ahli hanya timbul apabila berlaku pembubaran syarikat dan aset syarikat tidak mencukupi untuk melangsaikan hutang-hutangnya.[3] Contohnya, bagi syarikat berhad yang dihadkan oleh syer, ahli hanya bertanggungan setakat aset yang disumbangkannya yang mana setelah ahli tersebut selesai membayar syernya, maka tiada lagi tanggungan yang dipikul olehnya. Walau bagaimanapun, tanggungan syarikat kepada hutang-hutangnya adalah tidak terhad.
Apabila seseorang itu menjadi pemegang syer, adakah secara automatik orang tersebut menjadi ahli kepada syarikat? Status keahlian tidak bergantung sama ada seseorang itu mempunyai syer atau tidak di dalam syarikat. Di dalam kes Raja Khairulzaman Shah v. Zaman Indah Sdn. Bhd[4] telah diputuskan bahawa seseorang itu tidak memegang status keahlian hanya semata-mata kerana mempunyai syer dalam syarikat. Jika seseorang itu ingin memegang status keahlian, seksyen 16(6) menyenaraikan dua cara iaitu dengan memohon untuk membeli kepada memorandum dan bersetuju untuk menjadi ahli dengan namanya tersenarai dalam senarai ahli.
Selain itu, dari segi jumlah ahli dalam syarikat, ia bergantung kepada jenis syarikat. Jika syarikat itu ialah syarikat persendirian, maka had maksimum jumlah ahli ialah 50 orang[5] dan jika syarikat tersebut merupakan syarikat awam, tiada had maksimum bagi jumlah ahli.
Di samping itu, semua ahli syarikat mempunyai hak yang diperuntukkan oleh Akta yang mana akan dinikmati hanya setelah seseorang menjadi ahli kepada syarikat. Antara hak yang dinikmati oleh ahli-ahli ialah[6]:
a.       Hak untuk memastikan bahawa segala peraturan di dalam memorandum dan tataurusan syarikat diikuti.
b.      Hak untuk menghalang berlakunya tindakan ultra vires dan menyalahi undang-undang di dalam syarikat.
c.       Hak untuk mendapat makluman mengenai rekod syarikat.
d.      Hak untuk menghadiri dan mengundi dalam mesyuarat agung.
e.       Hak bagi layanan yang adil tanpa mengira bilangan syer dalam syarikat.

Dari segi pentadbiran, ia dijalankan oleh badan lembaga pengarah yang mana telah diperuntukkan dalam seksyen 122(3) Akta Syarikat 1965, pengarah syarikat hendaklah dilantik dengan sekurang-kurangnya dua orang yang bermastautin di Malaysia. Namun begitu, pengarah tersebut tidak secara automatik menjadi ahli kepada syarikat. Mengenai cirri-ciri pengarah, seksyen 129(1) telah menghadkan hanya orang yang tidak melebihi 70 tahun sahaja yang boleh dilantik sebagai pengarah di syarikat awam.
         Disamping itu, sesebuah syarikat mestilah mempunyai perlembagaan bertulis dalam bentuk memorandum dan tataurusan persatuan syarikat. Tataurusan ini merupakan suatu kod peraturan syarikat dan terpakai kepada syarikat serta ahli-ahlinya. Memorandum pula merujuk kepada suatu struktur syarikat yang mengandungi maklumat tentang syarikat kepada pihak yang ingin berurusan dengan syarikat. Dari segi percukaian pula, kadar cukai syarikat adalah sama dengan jenis perniagaan yang lain namun berbeza dari segi cukai tambahan yang merangkumi cukai pembangunan sebanyak lima peratus[7] dan cukai harta. Selain itu, ciri-ciri lain syarikat ialah ahli syarikat yang memegang syer boleh memindahkan syer dalam syarikat seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 103 Akta Syarikat 1965 namun pemindahan syer ini tertakluk kepada sekatan-sekatan tertentu.
            Di dalam syarikat, apabila modal telah dilaburkan oleh ahli syarikat, ia tidak boleh dikembalikan semula kepada mereka bagi syarikat berhad, namun bagi syarikat tidak terhad, peraturan ini tidak terpakai. Syarikat juga mempunyai keupayaan untuk membuat pinjaman di bawah nama syarikat tersebut tetapi pinjaman tersebut hanya boleh digunakan bagi tujuan yang telah ditetapkan dalam objek syarikat. Dari segi pembubaran pula, mengikut seksyen 211, syarikat boleh dibubar dengan mengikut cara tertentu, iaitu pertama mengikut perintah mahkamah yang mana ia adalah wajib bagi pembubaran, kedua secara sukarela.


[1] (1897) AC 22.
[2] Seksyen 16(5) Akta Syarikat 1965.
[3] Aishah Bidin. Undang-Undang Syarikat di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 2001, hlm 16.
[4] (1979) 2 MLJ 181.
[5] Seksyen 15(1) Akta Syarikat 1965.
[6] Aishah Bidin. Undang-Undang Syarikat di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 2001, hlm 17.
[7] Seksyen 16 Akta Cukai Pendapatan 1967.

No comments:

Post a Comment