Thursday 6 December 2012

UU Keluarga Islam- Golongan yang tidak boleh menerima harta warisan



Terdapat beberapa golongan yang tidak dapat mewarisi warisan harta pusaka walaupun harta itu datangnya daripada keluarganya sendiri. Antaranya ialah:

1.      Hamba
Seorang hamba abdi terhalang daripada menerima apa-apa harta warisan. Hal ini kerana hartanya adalah kepunyaan tuannya. Ini merangkumi semua jenis hamba tidak kira hamba sepenuh masa atau separuh masa atau hamba yang bertempoh. Perkara ini boleh dirujuk berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w yang bermaksud “ Hamba itu tidak memiliki melainkan perceraian.”

2.      Pembunuh
Barangsiapa yang terbukti melakukan pembunuhan adalah dihalang daripada menerima harta warisan orang yang dibunuh. Contohnya seperti anak yang membunuh bapanya tidak layak menerima harta warisan peninggalan arwah bapanya. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud “ Tidak ada pusaka bagi pembunuh” (hadis riwayat Malik dan Ahmad dari Umar.)
            Beberapa pendapat yang berbeza mengenai pembunuh mengenai pewarisan harta dapat dilihat iaitu daripada Mazhab Maliki, Mazhab Hanbali dan Mazhab Syafi’e. Mazhab Maliki mengatakan pembunuhan yang disengajakan sahaja yang terhalang daripada menerima pewarisan harta dan jika pembunuhan itu terjadi kerana tidak sengaja, maka individu tersebut tidak terhalang daripada menerima warisan harta. Berbeza dengan Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e berpendapat bahawa segala jenis pembunuhan sama ada sengaja atau tidak disengajakan adalah terhalang daripada menerima warisan harta bahkan walaupun ia hanya bertindak sebagai saksi. Contohnya, seseorang yang menjadi saksi pembunuhan yang mana bapanya adalah pembunuh dan oleh kerana kesaksiannya itu, bapanya dihukum bunuh/qisas. Di sini, orang tersebut terhalang daripada mewarisi harta bapanya yang mati dihukum kerana kesaksiannya itu. Mazhab Hanbali pula berpendapat pembunuhan yang dikenakan qisas,diyat atau kifarat sahaja yang dihalang daripada menerima warisan harta.

3.      Berlainan agama
           Orang bukan Islam tidak berhak menerima warisan daripada orang Islam, dan begitu juga sebaliknya. Contohnya, bapa yang masih kafir tidak berhak menerima harta anaknya yang sudah memeluk Islam. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud “Orang Islam tidak mendapat warisan dari harta orang kafir dan orang kafir tidak mendapat warisan dari harta orang Islan” (hadis riwayat Muttafaqun’alaihi).

4.      Murtad
        Ijma’ ulama telah mengatakan bahawa orang yang murtad yakni yang telah keluar dari Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka. Kesemua harta mereka diletakkan dibawah pengurusan baitulamal. Imam Malik, Syafi’e dan Hanbali berpendapat orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang murtad manakala Imam Hanafi mengatakan orang Islam boleh mewarisi harta orang murtad.

No comments:

Post a Comment